MINI Malaysia hari ini memperkenalkan MINI John Cooper Works Clubman dan MINI John Cooper Works Countryman baharu yang merupakan model MINI paling berkuasa serta eksklusif pernah dibina oleh jenama premium Britain itu. Model tersebut dilancarkan pada acara MINI Track Days 2017 yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang.
MINI John Cooper Works Clubman baharu merupakan gabungan prestasi yang versatil dan reka bentuk sofistikated. Bersaiz besar dan pintu yang terpisah pada bahagian belakang membuatkannya begitu fleksibel untuk apa jua keadaan. Manakala MINI John Cooper Works Countryman baharu pula dibina untuk mereka yang gemarkan cabaran. Kuasa dan saiznya yang mengagumkan itu mampu membawa anda ke mana sahaja termasuk pemanduan di laluan biasa mahupun off-road.
Model-model John Cooper Works dibina untuk memberi keterujaan, biarpun ketika anda masih belum masuk ke dalam kabinnya. Penampilannya yang garang dan mengambil inspirasi perlumbaan itu digabungkan dengan material berkualiti terbaik. Manakala pelbagai penambahbaikan dari segi visual nyata meletakkan John Cooper Works dalam liganya yang tersendiri.
Gayaan yang menyerlah pada bahagian luaran MINI John Cooper Works Clubman dan MINI John Cooper Works Countryman baharu meliputi Bodykit Aerodinamik John Cooper Works. Selain rim John Cooper Works Course Spoke bersaiz 19-inci berwarna hitam (Burnish Black), gril John Cooper Works, bumbung dan perumah cermin sisi berwarna merah (Chili Red), pelekat badan merah, spoiler belakang, paip ekzos besi tahan karat, ketutup sisi (Side Scuttles) serta Sil Pintu John Cooper Works.
Model-model baharu MINI John Cooper Works menampilkam pancaran Logo MINI Yours. Logo MINI akan dipancarkan ke tanah dari cermin sisi bahagian pemandu setiap kali kereta dikunci atau dibuka. Eksklusif untuk MINI John Cooper Works Countryman, satu kerusi piknik yang boleh dilipat keluar dari but menawarkan tempat duduk yang selesa di atas ruang penyimpanan barang.
Jentera ini juga menawarkan akses mudah yang membolehkan urusan membuka pintu, but dan menghidupkan enjin tanpa perlu menggunakan kunci. Aspek kemudahan ditingkatkan lagi dengan Pintu Belakang Automatik yang mudah dibuka. Alat pengesan yang diaktifkan menerusi pergerakan kaki berfungsi membuka dan menutup pintu tanpa perlu menekan sebarang butang. Fungsi ini sangat mudah terutama katika tangan anda penuh dengan barang.
Beralih ke ruang dalamannya, varian baharu John Cooper Works meneruskan semangat sukan bermotor. Tempat duduk sport John Cooper Works bersama upholsteri kulit Dinamica berwarna hitam (Carbon Black) dan jalur merah direka untuk membolehkan pemandu mengawal kuasa luar biasa sepenuhnya. Tempat duduk itu juga menawarkan sokongan lateral tambahan apabila pemandu mengambil selekoh dengan pengendalian MINI yang seperti sebuah go-kart sebenar. Jentera ini dikendalikan menerusi stereng John Cooper Works yang dibalut kulit dan dikawal oleh pedal besi tahan karat.
Reka bentuk yang diinspirasikan oleh sukan bermotor juga boleh dilihat pada kluster instrumen dan kemasan paparan tengah John Cooper Works. Pada waktu malam, pengalaman memandu diserlahkan lagi menerusi ciri kemasan permukaan kokpit yang diiluminasi (MINI Yours Illuminated Cockpit Surface) dalam warna hitam berkilat (Piano Black) pada MINI Countryman. MINI Clubman pula menggunakan kemasan gentian aloi untuk gayaan dalaman beriluminasinya (MINI Yours Illuminated Interior Style).
Model-model baharu MINI John Cooper Works dipasang dengan Paparan Head-Up berkonstras tinggi. Ia memaparkan semua maklumat penting yang diperlukan oleh pemandu – kelajuan, kedudukan gear, masa terbaik untuk menukar gear dan paparan rev.
Navigasi 3D boleh dioperasi menerusi skrin bersaiz 8.8-inci, di mana fungsi pisahan skrin membolehkan dua paparan peta dibuat masa yang sama. Buat pertama kalinya, skrin ini boleh dioperasi menggunakan teknologi skrin sentuh menerusi MINI Tounch Controller pada konsol tengah. Beberapa ciri lain yang turut ditawarkan ialah MINI Connected, Ketersambungan Bluetooth, storan 20GB untuk muzik dan gegelung LED pada instrumen tengah.
Satu lagi fungsi baru pada model-model MINI John Cooper Works ialah MINI Find Mate yang boleh membantu memantau apa sahaja yang dimahukan oleh pemandu. Ia hadir dengan dua tag Bluetooh yang boleh diletakkan pada beg atau kunci. Ciri ini membolehkan barangan yang telah ditag ini berada di dalam kenderaan atau tidak. Jika tidak, satu isyarat bunyi akan diberi dan lokasi barangan tersebut dihantar ke telefon pintar pemandu. Jika barangan tersebut berada dalam jarak yang jauh, kereta akan memberi navigasi kepada pemandu untuk pergi ke lokasi terakhir ia berada.
Dari segi hiburan, sistem bunyi Harman Kardon telah direka dan dipasang agar sesuai dengan ruang kabin kereta. Dengan kuasa 410-watt, sistem bunyi itu menjanjikan pengalaman mendengar muzik yang luar biasa. Sistem bunyi tersebut terdiri daripada empat unit pembesar suara julat sederhana pada pintu hadapan dan belakang. Selain dua unit bass tengah yang disimpan kemas di bawah tempat duduk hadapan.
Model-model baharu MINI John Cooper Works juga tampil dengan ciri Parking Assist yang membantu memarkir MINI di ruang selari secara automatik. Manakala urusan untuk masuk dan keluar dari ruang yang sempit kini semakin mudah dengan Kamera Undur, satu ciri standard untuk varian MINI Clubman dan Countryman ALL4 baharu.
Dijana oleh enjin termaju, kedua-dua varian John Cooper Works baharu ini menggunakan enjin 2.0 liter empat-silinder dengan Teknologi MINI TwinPower Turbo yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 231 hp dan tork 350 Nm. Ia juga menawarkan keseimbangan di antara kuasa dan penjimatan bahan api yang sempurna.
Enjin berkelajuan tinggi ini juga memberikan pemandu pengalaman pemanduan seperti go-kart yang maksimum. Ini kerana MINI John Cooper Works Clubman berupaya mencapai kelajuan 100 km/j dalam masa hanya 6.3 saat. Sementara MINI John Cooper Works Countryman dapat melakukan perkara sama dalam tempoh cuma 6.5 saat.
Enjin tersebut kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik lapankelajuan Steptronic Sports. Ia membolehkan model-model John Cooper Works menjadi lebih sporty, efisien dan selesa kerana tetapan penukaran gear yang lebih pantas. Kedudukan gear juga boleh ditukar secara manual menerusi paddle shifter. Padanan itu memberikan MINI John Cooper Works Clubman baharu tahap penggunaan minyak sekitar 7.2 liter bagi setiap 100 kilometer. Manakala MINI John Cooper Works Countryman pula menawarkan gabungan penggunaan minyak sekitar 7.4 liter untuk setiap 100 kilometer.
Untuk talaan kenderaan yang bersifat individu, Mode Pemanduan standard MINI membolehkan kenderaan ditala berdasarkan kepada kondisi jalan rata dan kecederungan pemandu. Dengan memutar suis rotari pada bahagian bawah gear atau tuil pemilih, pemandu boleh mengaktifkan talaan SPORT, MID dan GREEN. Khas untuk MINI John Cooper Works Countryman baharu, talaan Kawalan Peredam Dinamik ada ditawarkan.
Karekteristik peredam yang dikawal secara elektrik pada MINI John Cooper Works Countryman baharu dipacu untuk corak pemanduan dinamik dalam mode SPORT. Ia juga menyokong gaya pemanduan lebih selesa dalam dua mode lain. Mode GREEN direka untuk pemanduan yang selesa dengan kecekapan optimum. Dalam mode GREEN, rangkaian kuasa digandingkan pada kelajuan di antara 50 hingga 160 km/j, sebaik sahaja pemandu mengalihkan kaki daripada pedal pendikit.
Sistem brek yang dibangunkan khas untuk kedua-dua model John Cooper Works ini memastikan ia sepadan dengan prestasi yang ditawarkannya. Direka hasil kerjasama dengan pakar pengeluar brek Brembo, angkup brek cakera dengan empat omboh itu menjanjikan prestasi membrek yang konsisten, biarpun apabila terdedah kepada tekanan melampau di atas trek perlumbaan. Angkup brek diserlahkan lagi dengan warna merah dan logo John Cooper Works.
Sistem Dynamic Stability Control memastikan cengkaman yang optimum ketika memecut, lincah sewaktu mengambil selekoh dan selamat apabila kenderaan diperlahankan. Fungsi-fungsinya termasuklah Dynamic Traction Control (DTC), Electronic Differential Lock Control (EDLC) – yang bertindak sebagai satu fungsi kunci elektronik pada pembeza gandar hadapan. Ciri Performance Control pula menjanjikan pengendalian lincah apabila mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.
MINI John Cooper Works Clubman dan Countryman baharu merupakan model generasi terkini yang dilengkapi sistem pacuan semua roda ALL4 sebagai satu ciri standard. Agihan kuasa tork di antara roda hadapan dan belakang yang dikawal secara elektronik menawarkan pecutan mantap dan meningkatkan aspek kelincahannya ketika mengambil selekoh. Bukan itu sahaja, sistem ALL4 memastikan tahap cengkaman terbaik dan kestabilan pemanduan yang optimum dalam apa jua cuaca serta permukaan jalan raya.
Memandangkan ia disambungkan dengan Dynamic Stability Control DSC, ALL4 memastikan agihan kuasa tork dapat diadaptasi secara pantas dan tepat untuk apa jua situasi pemanduan. Sekali gus menyerlahkan karekter atletik serta versatiliti MINI John Cooper Works Clubman dan Countryman baharu.
Versi terkini sistem pacuan semua roda ALL4 terdiri daripada satu gear bevel pada pembeza gandar hadapan yang dikenali sebagai pelancaran kuasa. Di samping satu aci pendorong dua bahagian dan satu pembeza gandar belakang dengan klac hang-on yang dikawal secara elektrohidraulik. Prinsip kejuruteraan ini bukan sahaja menawarkan struktur yang kompak dan ringan, malah perubahan agihan kuasa yang efisien.
Model-model baharu MINI John Cooper Works didatangkan dalam warna hijau (Rebel Green) dan hitam (Midnight Black). Warna perak putih (White Silver) ditawarkan secara eksklusif untuk MINI John Cooper Works Clubman baharu. Manakala warna putih (Light White) pula khas untuk MINI John Cooper Works Countryman baharu.
Berkenaan dengan harga atas jalannya (tanpa insurans), MINI John Cooper Works Clubman ditawarkan pada RM328,888, manakala MINI John Cooper Works Countryman RM348,888. Ia juga hadir dengan Jaminan Tanpa Had Perbatuan selama empat tahun dan Servis Berjadual Percuma.
Selain itu, ia juga didatangkan dengan program Bantuan Tepi Jalan oleh MINI Malaysia selama lima tahun. Sah untuk semua kenderaan MINI baharu, program itu hadir bersama senarai perkhidmatan yang komprehensif termasuklah Bantuan Telefon Kemalangan dan On the Spot Hotline, 24 Jam, 365 hari setahun, Servis Tunda Percuma, Penyelesaian Perkhidmatan Mobiliti dan servis Penghantaran Pulang.
GALERI: MINI John Cooper Works Clubman
GALERI: MINI John Cooper Works Countryman
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.