MINI John Cooper Works Countryman diperkenalkan

MINI John Cooper Works Countryman diperkenalkan

Selepas pengenalan MINI Countryman generasi kedua, pengeluar kenderaan tersebut kini menampilkan versi prestasi tinggi untuk SUV British tersebut. John Cooper Works Countryman mengikut formula sama seperti MINI berlencana JCW yang lain, iaitu lebih berkuasa dan sporty.

Di bawah hudnya terdapat enjin empat silinder 2.0 liter turbo sama seperti yang digunakan pada JCW Clubman, menyediakan 231 hp dan 350 Nm tork. Sistem pacuan semua roda MINI ALL4 datang standard pada kenderaan ini dan pembeli boleh memilih padanan transmisi sama ada manual enam kelajuan atau automatik Steptronic lapan kelajuan.

Bagi yang memilih transmisi automatik, kenderaan mereka juga akan dilengkapi fungsi Launch Control, membolehkan ia memecut dari kosong ke 100 km/j dalam masa hanya 6.5 saat. Masa ini adalah sama dengan pecutan versi manual. Walaupun begitu, masa ini adalah sekitar 0.8 saat lebih pantas berbanding Cooper S Countryman ALL4.

MINI John Cooper Works Countryman diperkenalkan

Kuasa tambahan ini disertai dengan tetapan suspensi lebih sporty, brek Brembo dan fungsi MINI Driving Modes dengan tiga pilihan tetapan – Sport, Mid dan Green. MINI juga telah memberikan Countryman ini penggayaan khas JCW untuk membezakannya dengan model biasa.

Pada bahagian hadapan, terdapat gril honeycomb baharu dengan logo JCW yang terletak di antara dua lampu utama LED, kit badan JCW Aerodynamics dengan ruang kemasukan udara lebih besar dan rim aloi Black Thrill Spoke John Cooper Works 18 inci (saiz 19 inci juga boleh dipilih). MINI juga menawarkan pilihan empat warna standard dan enam warna metalik, dengan Rebel Green sebagai warna eksklusif JCW, bersama jalur-jalur merah.

Pada bahagian dalam, pelbagai lagi barangan khas JCW dipasang pada kenderaan ini seperti tempat duduk sport, stereng pelbagai fungsi serta tombol gear khas. Untuk kelengkapan lain, terdapat sistem MINI Visual Boost, MINI Controller di konsol tengah dan skrin 6.5 inci. Jika itu masih lagi tidak cukup, anda juga boleh memilih kelengkapan tambahan seperti pengawal pendingin hawa dua zon, sistem informasi dan hiburan lebih lengkap, skrin 8.8 inci dan sistem bunyi Harman Kardon.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required