Audi telah mengumumkan panggilan balik sukarela untuk sekitar 850,000 kenderaan di seluruh dunia yang menggunakan enjin diesel enam dan lapan silinder (V6/V8 TDI, Euro 5/Euro 6), demi “memperbaiki emisi kenderaan dalam keadaan pemanduan sebenar, melebihi keperluan peraturan yang ada sekarang.”

Langkah pencegahan awal ini melibatkan naik taraf perisian kenderaan tersebut, dan akan dijalankan dengan rundingan bersama Jabatan Pengangkutan Motor Negara (KBA) Jerman. Menurut Audi, mereka berhasrat mengurangkan emisi secara menyeluruh, terutamanya di kawasan bandar. Servis panggilan semula ini juga melibatkan kenderaan Porsche dan Volkswagen yang menggunakan enjin sama, tanpa sebarang kos.

Audi sentiasa memberi tumpuan kepada enjin diesel untuk penggunaan di masa hadapan, dan syarikat itu menyatakan bahawa penggunaan bahan api yang rendah oleh kenderaan mereka dapat membantu sasaran emisi yang ditetapkan oleh Eropah. Oleh itu, program panggilan balik ini akan membantu menepis sebarang larangan terhadap kenderaan diesel mereka.