Kenstomoto Ju – Kawasaki ZX-10R sedia bertempur

Kenstomoto Ju – Kawasaki ZX-10R sedia bertempur

Hasil kerja terbaru Kenstomoto ini mempunyai kisahnya yang tersendiri. Ia dinamakan sebagai Kenstomoto Ju (bermaksud 10 dalam bahasa Jepun), dan asalnya adalah sebuah Kawasaki ZX-10R tahun 2004. Seperti yang anda ketahui, ini adalah sebuah motosikal sports, dan itulah yang dilakukan oleh pemiliknya sebelum ini – aktif dalam sesi di litar.

Sedihnya, pemilik telah meninggal dunia akibat perlanggaran dengan sebuah lagi motosikal, dan sejak itu, motosikal tersebut tersadai sahaja. Oleh itu, adik pemilik, yang juga adalah kawan kepada pemilik Kenstomoto iaitu Kenny Yeoh menghantar motosikal tersebut untuk diubah suai. Yeoh bersetuju.

Walaupun sudah pernah menghasilkan beberapa motosikal unik seperti Demolisher, P650R, BOBR dan MechaStallion, Yeoh masih mendapati projek ini agak mencabar. Beliau memulakan kerja dengan ‘membogelkan’ motosikal yang sudah berusia hampir 13 tahun ini.

Menggunakan asas daripada rekaan asal untuk MechaStallion, Yeoh melakukan kerja ubah suai rangka Ju dan selepas itu, ia mengalami tujuh kali rujukan semula rekaan. Bagi mendapatkan gaya tempat duduk tunggal yang sudah menjadi tanda unik motosikal Kenstomoto tetapi mengekalkan ergonomik penunggang, Yeoh telah membuang keseluruhan bahagian belakang ZX-10R dan diganti dengan alas punggung nipis dan panel baru.

Pada bahagian hadapan, boleh dilihat fairing penuh ZX-10R ditanggalkan dan diganti dengan panel kecil di tepi radiator dan menutupi fork hadapan, manakala lampu hadapan pula menggunakan unit LED. Dua unit utama lampu projector terletak di tepi radiator manakala empat lampu LED yang lebih kecil diletakkan di hadapan fork. Perumah lampu yang mempunyai rekaan honeycomb itu sebenarnya adalah saluran udara.

Kebanyakan panel badan dan bahagian lain yang diubah suai oleh Yeoh dihasilkan melalui proses cetakan 3D, manakala tangkinya masih adalah unit daripada ZX-10R. Memandangkan ia adalah sebuah motosikal sports, Yeoh meletakkan tayar slick lumba di hadapan, manakala di belakang, kerana tiada stok, ia menggunakan tayar prestasi yang boleh didapati dalam pasaran.

Kenstomoto Ju – Kawasaki ZX-10R sedia bertempur

Bahagian enjin motosikal ini turut dibaik pulih, dan kini menggunakan sistem pendawaian lumba. Untuk lampu belakang, Yeoh masih belum siap memasangnya, dan ia akan menggunakan empat unit LED yang diletakkan sebaris. Ekzos pula menggunakan unit daripada AHM keluaran tempatan.

Yeoh masih belum berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan pada motosikal ini, dan beliau akan menyambung kerjanya dalam masa terdekat. Walaubagaimanapun, anda masih boleh menyaksikan secara langsung motosikal ini semasa acara Art Of Speed di MAEPS, Serdang hujung minggu ini kerana Yeoh akan mempamerkannya di sana.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required