Kenstomoto MechaStallion – CBR250R gaya Gundam

Kenstomoto MechaStallion – CBR250R gaya Gundam

Mungkin ada di antara anda pernah melihat hasil kerja ubah suai Kenny Yeoh, seorang pereka tempatan yang menggunakan label nama Kenstomoto. Kali ini, beliau menunjukkan kepada kami projek keempat yang dinamakan sebagai Kenstomoto MechaStallion. Asas motosikal ini adalah Honda CBR250R, iaitu sebuah model sports permulaan, tetapi Kenny telah menjadikannya sebuah jentera tersendiri dengan gaya Zaku Mecha.

Bagi yang tidak tahu, Zaku adalah watak ‘mecha’ (sut robotik) antagonis dalam siri manga dan anime Jepun Mobile Suit Gundam. Untuk MechaStallion ini, Kenny telah menggunakan kembali lampu tunggal yang direka sendiri oleh beliau, dan ia mempunyai persamaan dengan sut Zaku – satu ‘mata’.

Tipikal bagi sebuah motosikal Kenstomoto, MechaStallion juga menggunakan satu tempat duduk, dengan bahagian sub-frame dan tempat letak kaki penumpang dibuang. Satu pod kecil yang ditinggikan kini diguna untuk meletakkan hujung belakangnya, bersama lampu jenis LED.

Kenstomoto MechaStallion – CBR250R gaya Gundam

Bahagian ini sebenarnya adalah satu unit tunggal, yang dilekatkan pada kepingan cetakan 3D honey comb, dan Yeoh memberitahu ia dilakukan sebegini supaya kuat dan boleh digunakan untuk menarik badan motosikal apabila perlu.

Panel badan motosikal ini lebih unik – ia dibina dengan plastik ABS yang dicetak secara 3D dan terdiri daripada beberapa kepingan. Untuk bahagian hadapan, ia sebenarnya mempunyai lima bahagian berasingan, manakala bahagian tepi dan pelindung radiator masing-masing mempunyai enam dan dua keping setiap satu. Bahagian belakang pula menggunakan lima kepingan berbeza.

Antara tanda unik Kenstomoto adalah tetapan lampu LED yang bermula pada model P6, dan diikuti pada Demolisher dan BOBR. Satu lampu bulat utama yang boleh dilihat di bahagian hadapan itu sebenarnya bukanlah lampu utama, tetapi hanyalah lampu kabus yang dikelilingi oleh empat lampu siang LED. Lampu utama sebenarnya berada pada bahagian sisi, atas sedikit daripada perumah radiator.

Di atas, tangki asal CBR250R dikekalkan, tetapi kini lebih gemuk apabila ditambah dengan panel plastik ABS. Pada bahagian kokpit, informasi penting dipaparkan pada panel digital Trail Tech Vapor LCD yang lebih kompak dan terletak di antara dua pemegang.

Untuk suis kawalan, Yeoh telah menambah suis jenis slide di bahagian kanan untuk mengawal pilihan lampu sama ada ditutup sepenuhnya, lampu kabus atau lampu utama. Pada bahagian kiri pula, suis asal dikekalkan termasuk fungsi lampu tinggi, penunjuk arah dan hon.

Kepakaran Yeoh dalam bidang elektrik dan elektronik jelas dapat dilihat pada setiap motosikal projeknya, dan MechaStallion tidak terkecuali, apabila sistem pendawaiannya tersorok kemas dan disambung dengan box-connector secara betul. Keseluruhan sistem pendawaian ini adalah baru, namun kualitinya cukup baik, tanpa ada sebarang wayar yang terkeluar.

Walaupun begitu, masih ada beberapa bahagian yang masih belum dapat dihabiskan oleh Yeoh. Sebagai contoh, ekzos Akrapovic pada motosikal ini berbunyi pelik dan ia hanya dipegang dengan cable tie.

Kenstomoto MechaStallion – CBR250R gaya Gundam

“Saya minta maaf, ekzos ini baru sahaja dipasang malam tadi bila awak memberitahu mahu membawanya keluar untuk sesi penggambaran,” kata Yeoh. Kami menerimanya secara baik kerana ini adalah satu motosikal buatan khas, dan bukannya produk yang keluar dari kilang.

Menurut rakan sekerja kami, Mohan K Ramanujam, yang berpeluang menunggang motosikal ini, ia terasa ringan, cukup lincah, senang dikawal dan mempunyai suspensi yang baik. Walaubagaimanapun, bahagian brek asal mungkin boleh diperbaiki lagi.

Untuk produk keempat ini, ternyata Yeoh telah meningkatkan tahap yang ditetapkan sebelum ini dan beliau mengambil segala kritikan serta komen yang didapati daripada model sebelum ini dan diambil untuk memperbaiki produk seterusnya.

“Idea saya datang sepanjang masa, dan setiap satunya akan membawa kepada satu langkah besar ke hadapan, atau peningkatan kecil, bergantung pada apa yang perlu dilakukan,” kata Yeoh. Ditambah pula kini beliau mempunyai pengimbas 3D, Yeoh sedia untuk membawa idea yang lebih menarik.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required