Seperti yang pernah diuar-uarkan, mulai jam 12 tengahari ini, kesemua 19 plaza tol di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2 bakal mengimplementasikan sistem kutipan tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya. Sekaligus menjadikannya sejumlah 177 plaza tol di 31 lebuhraya di seluruh negara yang tidak lagi menggunakan kaedah tunai sebagai transaksi.

Menurut syarikat pemegang konsensi LPT1, Anih Berhad (Anih), persediaan rapi telah dibuat sejak awal lagi untuk memastikan semua sembilan plaza tol di lebuh raya tersebut iaitu Karak, Lanchang, Temerloh, Chenor, Maran, Sri Jaya, Gambang, Kuantan dan Jabor bersedia dengan sistem kutipan baharu itu, laporan Bernama.

Naib Presiden II dan Timbalan Ketua Pengurusan Tol Anih Ismaliza Ibrahim berkata, kesemua 57 laluan di plaza tol terbabit sudahpun dilengkapi sistem ETC sama ada Touch ‘n Go mahupun SmartTAG.

Katanya lagi, Anih turut memastikan kesemua warga kerjanya bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan termasuk golongan pengguna jalan raya yang ‘alah’ dengan penggunaan teknologi baharu itu.

“LPT1 ini merupakan lebuh raya utama yang menghubungkan kawasan pantai timur dengan ibu negara dan ia akan menjadi sesak terutamanya pada musim cuti sekolah dan musim perayaan. Contohnya pada perayaan Aidifitri lepas, purata harian penggunaan Lebuh Raya Karak (KLK) dan LPT1 pada waktu puncak meningkat sebanyak 73.8% kepada 245,000 buah kenderaan berbanding kira-kira 141,000 kenderaan pada hari biasa.

“Sehubungan itu, pelaksanaan ETC ini adalah cara terbaik melancarkan lalu lintas dan mengelakkan kesesakan. Bagi peringkat permulaan kita meletakkan kakitangan Anih di setiap lorong untuk membantu pengguna jalan raya yang sebelum ini gemar membayar tol secara tunai,” katanya.

Pelaksanaan sepenuhnya sistem ETC ini membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas 15 hingga 20% yang secara langsung turut membantu mengurangkan kemalangan dan pencemaran alam sekitar. Ini kerana transaksi secara Touch ‘n Go untuk sebuah kereta hanya mengambil masa enam saat, manakala SmartTAG tiga saat sedangkan sebuah lorong tunai ambil masa 15 saat.

“Kita tahu ada dalam kalangan pengguna lebuh raya terutama di Chenor dan Maran yang lebih selesa melakukan pembayaran tunai kerana risau dengan baki duit yang tidak habis digunakan dalam kad Touch ‘n Go mereka.

“Sebenarnya baki duit itu tidak akan hilang kerana tiada terma tamat tempoh untuk kad dan ia boleh digunakan pada bila-bila masa,” kata Ismaliza lagi.

Menceritakan sejarah migrasi ETC di LPT1, Ismaliza berkata ia bermula pada 2005 ketika lebuh raya itu mula beroperasi dengan 10 lorong Touch ‘n Go, tujuh lorong SmartTAG, enam lorong mod campur (tunai dan ETC) serta 22 lorong tunai.

Pada masa itu kadar penggunaan ETC hanya 16 peratus, namun sehingga hujung tahun lepas kadar penggunaan ETC dalam kalangan pengguna LPT1 meningkat sehingga 70.1 peratus dengan bilangan lorong Touch ‘n Go dan SmartTAG ditambah kepada 12 dan sembilan lorong masing-masing.

Sehingga Mei lepas, kadar penggunaan ETC di kesemua sembilan plaza tol LPT1 meningkat kepada 74.1%, sekali gus memberi keyakinan pelaksanaan sepenuhnya ETC tersebut akan disambut baik oleh pengguna lebuh raya itu.

“Untuk kemudahan pengguna LPT1, kita turut menyediakan khidmat penjualan kad Touch ‘N Go dan tambah nilai di Plaza Tol Karak, Temerloh dan Kuantan, selain di stesen-stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat Temerloh dan Gambang, katanya.