Sebelum ini dunia automotif dihidangkan dengan enjin tanpa aci sesondol (camshaft) untuk beroperasi dengan teknologi yang digelar FreeValve binaan FreeValve AB iaitu syarikat subsidiari Koenigsegg. Baru-baru ini pula, syarikat kejuruteraan dari UK, Camcon Automotive telah mendedahkan satu lagi teknologi dengan konsep yang hampir sama tetapi nampak lebih konvensional digelar Intelligent Valve Actuation (IVA).
Berbanding enjin FreeValve yang langsung tidak mempunyai aci sesondol dan injap-injap kemasukan dan ekzos digerakan oleh mekanisma pneumatik, hidraulik dan elektronik, sistem IVA ini sebaliknya masih lagi mempunyai aci sesondol untuk menggerakkan injap-injap berkenaan. Apa yang hampir sama antara FreeValve dan IVA dan membezakannya dari enjin konvensional lain ialah ia tidak mempunyai mekanisma cam pulley dan juga sama ada tali sawat (timing belt) atau rantai pemasa (timing chain)
Jadi pemasaan pergerakan sesondol untuk membuka atau menutup injap berkenaan digerakkan oleh penggerak (actuator) yang dikawal secara digital terus dari unit komputer pengurusan enjin ini. Dengan teknologi ini, kesemua injap berkenaan dapat dikawal secara individu sama ada darjah bukaannya, tempoh tertutup sepenuhnya mahupun untuk ditahan pada darjah bukaan tertentu.
Jadi dengan bukaan injap yang lebih tepat ini, ia menghasilkan pembakaran yang jauh lebih sempurna. Menurut pengarah komersial Camcon Auto, Mark Gostick, IVA mampu mengurangkan pencemaran CO2 sehingga 15% ke 20%. Ia juga mampu meningkatkan kuasa, tork dan kebolehan pemanduan enjin berkenaan. Walaupun kelihatan agak kompleks, pembinaan IVA ini sejak dari awal lagi mensasarkan agar ia boleh dipadankan dengan mudah pada enjin konvensional biasa.
“IVA mempunyai potensi untuk merapatkan jurang antara enjin petrol dan diesel dengan menawarkan penggunaan bahan api seperti diesel dengan pretasi dan emisi enjin petrol dan kami percaya ia boleh memenuhi atau menjangkaui undang-undang emisi pada masa akan datang,” jelas Gostick lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.