Perancangan itu ada, namun nampak gayanya ia terpaksa ditangguhkan sehingga tahun 2021, ujar Alfa Romeo mengenai pembikinan model sedan yang lebih besar, seperti mana yang dilaporkan oleh Automotive News.

Laporan tersebut turut menyebut Alfa Romeo mungkin tidak akan melancarkan sebarang model perdana empat-pintu sehingga tahun 2021, selepas memperkenalkan model sedan Giulia (seperti gambar di atas) dan Stelvio baru-baru ini. Walau bagaimana pun, jenama ini memang mempunyai perancangan untuk menghasilkan model pesaing bagi BMW 5 Series, Mercedes E-Class dan Audi A6.

Menurut satu sumber, penangguhan rancangan ini dikaitkan dengan jualan model sedan yang tidak memberangsangkan sejak kebelakangan ini. Di mana hanya 5,494 unit Giulia dijual sehingga Ogos lalu. Sebagai perbandingan, BMW pula mencapai jualan sebanyak 37,170 unit bagi model 3 Series setakat ini walau pun dikatakan mengalami penurunan sebanyak 18%, memandangkan pelanggan kini lebih terarah memilih model crossover dan SUV.

Prestasi jualan yang agak mendukacitakan ini mengehad perancangan Alfa dan syarikat induknya Fiat Chrysler Automobiles untuk meneruskan perancangan itu buat masa ini. Malah Alfa Romeo juga dikatakan sedang memantau lebih terperinci bagi penjualan Stelvio yang diperkenalkan pada Julai lalu, sebelum meneruskan agenda lain termasuk pembikinan sedan yang lebih besar.