Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan bagi bulan Ogos 2017, di mana sebanyak 51,720 unit kenderaan telah pun dihantar. Rekod ini mencatatkan peningkatan sebanyak 6.5% atau pun lebih 3,167 unit berbanding bulan Julai 2017.

Menurut MAA, kempen promosi yang dianjurkan oleh syarikat kereta serta pelaksanaan pesanan tertangguh (dengan sistem e-daftar telah kembali beroperasi seperti biasa) telah menyumbang kepada peningkatan ini.

Berbanding pada tempoh yang sama pada tahun 2016, jumlah jualan bagi Ogos 2017 adalah 499 unit atau 1% lebih rendah. Manakala bagi keseluruhan jumlah dalam industri (TIV) tahunan sehingga Ogos telah mencatatkan sebanyak 384,730 unit, di mana ia 4% lebih tinggi daripada yang direkodkan pada tempoh yang sama pada tahun lalu (370,152 unit).

Bagi September pula, MAA menjangkakan keputusan yang lebih kurang sama dengan Ogos, atas faktor waktu bekerja yang lebih pendek dan kempen promosi yang berterusan.