Mazda CX-5 CKD 2017 dipertontonkan di Malaysia – perincian penuh didedahkan, 5 varian, dari RM134k

Mazda CX-5 CKD 2017 dipertontonkan di Malaysia – perincian penuh didedahkan, 5 varian, dari RM134k

Seperti yang diuar-uarkan sebelum ini, Mazda menerusi Bermaz Motor bakal memperkenalkan model CX-5 versi pemasangan tempatan (CKD) untuk pasaran Malaysia. Pagi ini, kami berlintas langsung dari kilang Inokom, Kulim, Kedah, bagi menyaksikan acara pemulaan pemasangan (roll-out) SUV popular Mazda ini.

Walau pun masih belum mendedahkan bilakah CX-5 CKD ini akan dilancarkan secara rasmi, namun harga dan perinciannya telah pun didedahkan. Pastinya menambah debaran di kalangan penggemarnya terutamanya yang memasang hasrat untuk memilikinya.

Seperti yang kami maklumkan sebelum ini, CX-5 CKD 2017 bakal dibarisi lima varian (tiga varian petrol dan dua varian diesel), iaitu 2.0G 2WD GL, 2.0G 2WD GLS, 2.5G 2WD GLS, 2.2D 2WD GLS dan 2.2D AWD GLS.

Bermula dengan model asas 2.0G 2WD yang menampilkan dua varian iaitu GL yang ditawarkan pada harga RM134,205.50 serta GLS pula RM148,205.50. Turut menyertai barisan varian CX-5 2017 CKD ini ialah varian petrol 2.5G 2WD GLS ditawarkan pada harga RM160,596.70. Malah Mazda turut memberikan pilihan enjin diesel 2.2G 2WD GLS pada harga RM164,179.10 dan 2.2D AWD GLS yang berharga RM174,779.10.

Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insurans. Dengan setiap pembelian, pemilik akan diberi jaminan selama lima-tahun atau 100,000 km, dan pakej servis percuma tiga-tahun atau 60,000 km.

Mazda CX-5 CKD 2017 dipertontonkan di Malaysia – perincian penuh didedahkan, 5 varian, dari RM134k

Apakah yang menariknya bagi CX-5 generasi kedua ini yang meneruskan evolusi Jinba Ittai kebanggaan Mazda? Pastinya imej luaran dan dalaman dengan rekaan konsep Kodo menjadi taruhan utama untuk menambat hati para peminat SUV atau pun bagi sesiapa yang mungkin mahu bertukar selera dari sedan ke SUV.

Pada bahagian luaran, bonet baharu juga ditampilkan memberikan imej hadapan yang lebih tajam bagi SUV baharu ini. Bahagian bampar bawah juga digantikan serta kini tiada lagi corong palsu. Menyerlahkan lagi gayanya dengan gril gaya-sarang lebah baharu berbanding model sebelum ini hanya hanya menampilkan kepingan plat biasa. Ternyata CX-5 baharu ini ada iras-iras abangnya iaitu Mazda CX-9.

Semua model baharu ini turut menerima lampu hadapan LED yang lebih langsing, dengan lampu nyalaan siang dan lampu kabus hadapan (LED bagi semua varian kecuali mentol untuk varian asas 2.0 GL). Ia juga ditawarkan dengan dua rekaan roda iaitu pelbagai-jejari 17-inci untuk varian rendah dan lima jejari-berkembar 19-inci bagi varian spesifikasi tertinggi. Lampu kombinasi belakang LED ditampilkan untuk semua varian tertinggi (kecuali varian asas dengan lampu mentol biasa). Semua varian turut ditampilkan dengan antena sirip jerung, spoiler belakang, pengesan parkir dan dwi corong ekzos dengan kekemasan terang.

Pada bahagian dalaman pula, papan pemuka CX-5 yang dirombak semula ini dilengkapi dengan material sentuhan lembut berserta rekaan kayuan dan logam untuk semua varian kecuali model asas (hadir dengan kekemasan gun metallic). Ia turut menampilkan skrin utama Mazda Active Driving Display pada bahagian tengah yang dihubungkan kepada sistem infotainment MZD Connect. Bagi kluster instrumen, semua varian menerima paparan standard TFT LCD 4.6-inci, namun ia dipertingkatkan bagi dua varian tertinggi dengan menampilkan Paparan Pelbagai Informasi TFT LCD berwarna 4.6-inci.

Mazda CX-5 CKD 2017 dipertontonkan di Malaysia – perincian penuh didedahkan, 5 varian, dari RM134k

Lain-lain elemen yang ditampilkan termasuk roda stereng tiga-jejari (seperti CX-9), brek tangan elektrik (dengan fungsi brek penahan baharu), corong pendingin hawa belakang, kawalan suhu dwi-zon, perehat tangan, port USB, sambungan Bluetooth dengan kit telefon bebas tangan, pemain CD/MP3, sistem navigasi GPS (kecuali varian asas) dan kamera undur. Walau bagaimana pun ia tidak menyertakan sistem bunyi Bose seperti mana yang ada pada unit CBU.

Bagi tempat duduk pula, balutan fabrik untuk model asas dan larasan manual untuk tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan. Manakala varian tertinggi lain menerima balutan kulit dengan 10-hala larasan berkuasa bagi tempat duduk pemandu.

Selain pembaharuan yang lebih segar pada bahagian imejnya, SUV ini juga mengalami perubahan pada dimensi dan bentuk kerangkanya. Di mana tiang-A telah diposisikan ke belakang sedikit sebanyak 35 mm, sekaligus mengoptimumkan kedudukan gandar hadapan dan tiang-A.

Jadi, dimensi terkini bagi model generasi kedua ini ialah 4,550 mm bagi panjang (-5 mm tanpa pemegang plat nombor) dan bertambah 20mm bagi ketinggiannya menjadi 1,690 mm. Namun lebarnya masih sama iaitu 1,840 mm, begitu juga dengan jarak rodanya (2,700 mm). dimensi baharu ini sekaligus memberikan ia memiliki “fizikal yang lebih mantap”, menurut Mazda.

Di bawah bonetnya, varian CX-5 janaan petrol dilengkapi sama ada enjin SkyActiv-G 2.0 liter (162 hp/210 Nm) atau 2.5 liter (192 hp/257 Nm). Manakala bagi varian diesel pula, ia dipadankan dengan unit 2.2 liter SkyActiv-D yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 173 hp dan 420 Nm.

Versi petrol akan dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan SkyaActiv-Drive memacu roda hadapan. Manakala untuk model yang dijana kuasa diesel pula juga diberikan sistem transmisi yang sama tetapi turut diberikan sistem pacuan semua-roda.

Seperti juga model-model lain dalam barisan, SUV generasi baharu ini turut diberikan teknologi pemanduan SkyActiv-Vehicle Dynamic dengan sistem G-Vectoring Control (GVC) dan Mazda i-Stop Idling Technology.

Untuk aspek keselamatannya, Mazda i-Activsense bagi sistem bantuan pemandu dan keselamatan juga akan didatangkan, dengan Kepekaan Trafik Lintasan belakang (RCTA), Pemantauan Titik Buta (BSM) dan Sokongan Brek bandar Pintar (hadapan) bagi semua varian. Lain-lain elemen keselamatan standard bagi semua varian ialah enam beg udara, ABS dengan EBD, Kawalan Kestabilan Dinamis (DSC), Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Sistem Kawalan Cengkaman (TSC), Bantuan Mula Mendaki (HSS) dan ISOFIX.

Walau bagaimana pun, varian diesel juga akan dilengkapi dengan Sokongan Brek bandar Pintar (belakang), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Sistem Amaran Ketibaan Lorong (LDWS) dan Kepekaan Perhatian Pemandu (DAA). Kesemua model turut menerima penarafan lima-bintang dari Japan NCAP dan Euro NCAP.

Sehingga kini, Mazda Malaysia belum bersedia mendedahkan bilakah kesemua barisan CX-5 baharu ini bakal dilancarkan untuk pasaran tempatan. Justeru, sama-samalah kita menantikan perkembangan selanjutnya.

GALERI: Spesifikasi penuh untuk kesemua varian Mazda CX-5 2017 CKD

GALERI: Mazda CX-5 2017 2.0L

GALERI: Mazda CX-5 2017 2.5L

GALERI: Mazda CX-5 2017 2.2L diesel

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

 

Add a comment

required

required