Dalam tempoh sebulan dari sekarang, Perkhidmatan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) akan diperluaskan dengan membolehkan agensi itu melantik bengkel-bengkel kenderaan swasta untuk memberikan perkhidmatan pemeriksaaan kenderaan, lapor Bernama.
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi, kementerianya bersetuju untuk membolehkan Puspakom melantik bengkel-bengkel swasta tersebut khususnya di luar bandar bagi menjimatkan perbelanjaan agensi tersebut.
“Kaedah itu juga boleh memberi peluang kepada bengkel-bengkel yang terpilih untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka dengan penambahan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan namun, ia mestilah mengikut garis panduan yang ditetapkan Puspakom,” jelas Aziz.
“Fokus kita ialah memperluaskan perkhidmatan Puspakom ke kawasan luar bandar dan kaedah ini dapat menjimatkan perbelanjaan berbanding jika kita membina cawangan baharu yang menelan kos pembinaan lebih tinggi,” tambahnya lagi.
Puspakom merupakan agensi yang menjalankan pemeriksaan kenderaan berkomputer yang dilantik oleh kerajaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi memastikan kenderaan-kenderaan komersial diperiksa untuk memastikan ia selamat digunakan diatas jalan raya, dan juga pemeriksaan-pemeriksaan lain bagi tujuan kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan misalnya pemeriksaan bagi tujuan penukaran hak milik serta lain-lain.
Selain dari pemeriksaan-pemeriksaan mandatori ini, Puspakom turut menjalankan pemeriksaan sukarela yang dibuka untuk orang awam bagi memastikan tahap ‘kesihatan’ kenderaan mereka. Perincian lanjut berkenaan pusat ini boleh anda baca DI SINI, setelah kami diberi peluang untuk menjadi pemeriksa kenderaan selama sehari.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.