Nilai semula pelaksanaan standard MS2669 – MWFA

Nilai semula pelaksanaan standard MS2669 – MWFA

Berhubung pengumuman berkaitan pelaksanaan standard baru MS2669 bagi filem penapis haba yang akan mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2018 sebelum ini, Malaysia Window Film Association (MWFA) mempunyai pandangan yang sedikit berbeza; walaupun persatuan itu bersetuju dengan keperluan adanya piawaian baru yang dikenali sebagai MS2669 itu, ahli-ahlinya bagaimanapun berpendapat aspek pelaksanaannya perlu dinilai semula dan diperhalusi lagi.

“Pertama sekali, kami selaku pemain industri yang terlibat secara langsung tidak hanya selaku pengedar filem penapis haba merasa ditidak diwakili sebaiknya dalam proses penetapan standard baru itu,” ujar Presiden MWFA, YM Syed Hafidz Jamalullail.

WMFA didaftarkan secara rasmi pada 17 Ogos 2017 lalu susulan daripada polemik yang tercetus ini. Persatuan ini terdiri daripada 414 ahli daripada 384 syarikat yang ada diantaranya turut merupakan pengilang dan pengeluar filem penapis haba di Malaysia dan bukan sekadar menjadi pengedar kepada filem-filem yang diimport.

Menurut WFMA, pihak yang dirujuk di dalam proses penepatan piawaian baru ini oleh agensi-agensi kerajaan yang terlibat, iaitu Auto Audio Accessories and Air-Condition Traders Association (AAA) tidak mewakili suara pemain-pemain industri yang terlibat secara langsung di dalam pengeluar dan pemasarkan produk filem penapis haba.

“Ahli-ahli persatuan itu terdiri sebahagian besarnya daripada mereka yang terlibat dalam perniagaan audio dan pendingin hawa kenderaan. Bagaimana mereka ini boleh mewakili kepentingan dan dapat memberi maklum balas yang betul bagi hal-hal berkaitan filem penapis haba kenderaan?” soal Hafidz.

Nilai semula pelaksanaan standard MS2669 – MWFA

MS2669 diusulkan bagi mengatasi beberapa masalah yang melibatkan penggunaan filem penapis haba sebelum ini. Antaranya ialah situasi cermin dan filem berkenaan yang boleh menjadi bergelembung selepas satu tempoh masa yang menyebabkan penglihatan pemandu terganggu sekaligus boleh menyebabkan kemalangan.

Kedua, peranti pengesan bacaan Visible Light Transmittance (VLT) yang tidak sekata dan tidak konsisten yang digunakan dalam kalangan penjual/pihak berkuasa untuk menentukan tahap tembusan cahaya dalam kenderaan. MS2669 diusulkan untuk mengawalselia perkara ini, dan menentukan satu kaedah atau piawaian baru yang lebih berkesan.

“Kami tak ada masalah jika kerajaan ingin memperkenalkan standard baru ini yang dengan jelas bertujuan untuk meningkatkan keselamatan, tetapi pelaksanaan yang diputuskan setakat ini masih terdapat ketidakpastian dan kelompongan yang perlu diperhalusi,” tambah beliau lagi.

Antara perkara yang dimaksudkan ialah pengenalan label keselamatan dengan kod QR. Jika ini dilaksanakan tahun depan, setakat yang telah diluluskan kini, semua kenderaan baru yang didaftar akan dilengkapi dengan enam label kod QR ini yang mengandungi maklumat tentang kenderaan serta produk berkaitan filem penapis haba yang digunakan. Dengan adanya label ini, pihak berkuasa akan mengatahui bahawa kenderaan terbabit sepatutnya telah menepati piawaian MS2669 yang dimaksudkan.

“Tetapi, bagaimana pula dengan peranan agensi kerajaan seperti JPJ yang sebelum ini turut akan menguatkuasakan perkara berkenaan? Jika mereka masih perlu memeriksa kenderaan untuk tujuan itu, bukankah tugas ia akan bertindan dengan objektif pengenalan kod QR itu tadi?” soal mereka.

Nilai semula pelaksanaan standard MS2669 – MWFA

Seperkara lagi yang masih sama-samar adalah berkaitan keperluan untuk kerajaan melantik syarikat swasta sebegai pihak ketiga bagi menjalankan hal ini, sedangkan setakat ini, jika berkaitan filem penapis haba kenderaan, sudah ada tiga agensi yang terlibat di dalam melakukan kawal selia berkenaan; Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), SIRIM dan Puspakom. “Mengapa perlu lantik lagi pihak lain untuk buat kerja yang sama? Mengapa tidak diperhalusi dan diperkemas peranan tiga agensi ini?” soal mereka lagi.

Perkara lain yang masih menjadi tanda tanya ialah pemeriksaan atau ujian yang perlu dilakukan terhadap semua filem penapis haba yang ingin dijual selepas ini. “Jika satu model filem dengan spesifikasi tersendiri akan dikenakan kos sekitar RM6,000, bayangkan berapa banyak kenaikan kos yang akan terlibat sekiranya ada beberapa jenis filem dari spesifikasi yang berbeza di dalam satu penghantaran yang tiba di sini. Kos jualan yang akan dikenakan kepada pengguna juga akan melambung,” ujar mereka lagi.

Kesimpulannya, WMFA merasakan aspek perlaksanaan MS2669 masih banyak ketempangan dan perlu diperhalusi lagi. Di dalam perkembangan terbaru, wakil persatuan ini turut akan bertemu dengan kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat untuk memberi maklum balas dari pihak mereka, yang sebelum ini tidak disampaikan atau tidak diwakili dengan sewajarnya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required