Terdapat perkhabaran yang mengatakan bahawa pengeluar kenderaan elektrik mewah Tesla, telah memecat sekitar 400 orang stafnya dalam tempoh seminggu. Pemecatan ini melibatkan ketua jabatan dan penyelia, ujar bekas stafnya kepada Reuters.
Walau bagaimana pun, sehingga kini Tesla enggan memberikan penjelasan mengenai perkara ini. “Ada lebih kurang 400 orang staf daripada pelbagai jabatan yang terlibat, dari ketua jabatan sehinggalah ke penyelia,” ujar bekas staf bahagian pemasangannya.
Awal bulan ini, Tesla telah menyebarkan keputusan suku ketiga 2017, di mana ia menunjukkan peningkatan sebanyak 4.5% sehingga tarikh yang berkenaan, iaitu meningkat sebanyak 17.7% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Walau bagaimana pun, syarikat ini hanya mampu mengeluarkan 260 unit Model 3, dan hanya menghantar sejumlah 220 bagi model asas tersebut, yang berharga bermula $35,000 (RM147,581).
Tesla juga mengakui berhadapan dengan masalah produksi bagi Model 3, “Tiada isu mengenai pengeluaran Model 3 atay rantaian bekalan. Walau bagaimana pun, kami faham dengan keperluan yang ditetapkan dan kami yakin dapat menyelesaikan masalah ini,” ujar syarikat ini menerusi kenyataan yang diedarkan.
Mengikut perancangan asal adalah “untuk mencapai 5,000 unit Model 3 setiap minggu menjelang akhir 2017,” berdasarkan laporan kewangan suku ketiga yang dikeluarkan. Malah sebelum ini Tesla juga pernah berkata untuk mencapai “10,000 pengeluaran bagi Model 3 setiap minggu” pada tahun 2018, dengan kadar pengeluaran tahunan mencecah 500,000 unit kenderaan.
Walau bagaimana pun, Tesla telah berkata, kilang Fremont di California dan kilang bateri di Reno, Nevada, “memerlukan lebih banyak masa untuk diaktifkan berbanding yang dijangka.”
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.