MForce Bike Holdings Sdn Bhd telah melancarkan sebuah model Benelli baru untuk pasaran Malaysia iaitu Leoncino. Model ini membawa gaya srambler klasik, tetapi dilengkapi dengan teknologi moden, dan dipasarkan pada harga RM29,678 termasuk GST, tetapi tanpa insurans dan kos pendaftaran lain. Walaubagaimanapun, motosikal ini hanya akan mula berada di pasaran pada bulan Disember tahun ini.

Penggerak Leoncino adalah unit enjin dua silinder selari 499.6 cc DOHC empat strok, dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 47 hp dan 45 Nm tork. Sistem bahan apinya adalah menggunakan suntikan elektronik (EFI), manakala penyampaian kuasa dilakukan oleh rantai ke roda belakang.

Walaupun mempunyai rupa klasik, Leoncino dilengkapi dengan teknologi moden antaranya termasuk lampu utama dan lampu penunjuk arah LED, panel meter digital, fork hadapan USD dan suspensi belakang monoshock boleh laras. Brek hadapan cakera 320 mm berkembar dengan angkup empat piston dan brek belakang cakera 260 mm dengan angkup dua piston padanya juga dilengkapi dengan sistem ABS.

Berat keseluruhan Leoncino adalah 196 kg, dan ia dilengkapi dengan tangki minyak 12.7 liter. Ukurannya pula adalah 2,160 mm panjang, 875 mm lebar, 1,160 mm tinggi, tinggi tempat duduk 810 mm dan jarak roda 1,460 mm. Pada bahagian rim, unit yang digunakan adalah bersaiz 17 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang.

Benelli Leoncino dipasang di Malaysia, tetapi setakat ini, semua barangannya masih lagi diimport. Orang ramai diberi pilihan dua warna untuk Leoncino iaitu hitam dan merah, manakala jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.