Acura NSX Dream Project binaan ScienceofSpeed bakal ke SEMA 2017- 610 hp/687 Nm, kit aero ala-GT3

Acura NSX Dream Project binaan ScienceofSpeed bakal ke SEMA 2017- 610 hp/687 Nm, kit aero ala-GT3

Sempena pertunjukkan kenderaan ubahsuai tahunan di Amerika Syarikat iaitu SEMA 2017, pakar ubahsuai Acura NSX – ScienceofSpeed (SoS) – akan menampilkan NSX yang lebih berkuasa dengan rupa yang lebih agresif digelar NSX Dream Project.

Masih mengekalkan enjin V6 3.5 liter turbo berkembar bersama sistem hibrid dengan tiga motor elektrik, Dream Project diberikan pelbagai tingkat taraf unit janakuasa. Ubahsuai dimulakan dengan penukaran downpipe berprestasi tinggi dan disatukan dengan sistem ekzos keluli tahan karat 7 kg lebih ringan bagi menghasilkan deruman enjin yang lebih ‘dalam’ dan agresif.

SoS turut memadankan sistem suntikan cecair ke unit intercooler bagi memberikan udara lebih sejuk setelah disedut oleh pengecas turbo, seterusnya memberikan ledakan yang lebih berkuasa di dalam kebuk pembakaran. Secara keseluruhan, senarai ubahsuai ini mampu mengerah 610 hp dan juga tork maksima 687 Nm, atau 37 hp dan tork 31 Nm lebih berkuasa dari jumlah asal.

Acura NSX Dream Project binaan ScienceofSpeed bakal ke SEMA 2017- 610 hp/687 Nm, kit aero ala-GT3

Bagi memberikan pengendalian lebih baik setelah kuasa asal dipertingkatkan, Dream Project diberikan kit suspensi custom yang merapatkan lagi badan NSX ini ke permukaan jalan, lebih satu inci dari ketinggian asal. Namun, untuk memudahkan supercar hibrid ini mudah untuk melintasi halangan – meredah bonggol misalnya, ia turut diberikan sistem iLIFT yang mampu meninggikan gandar hadapan NSX ini sebanyak dua-inci secara automatik sekiranya penderia mengesan halangan di hadapan.

Pengendalian Dream Project ini turut dibantu dengan set roda yang dipadankan. Rim-rim asal NSX berkenaan digantikan dengan set rim forged lima-jejari Advan GT kemasan Machine Hyper Black dengan saiz 20×9 jj di hadapan dan 21×12 jj di belakang. Set rim berkenaan kemudiannya dibalut dengan tayar-tayar perlumbaan Pirelli Trofeo R.

Pada bahagian luaran, SoS memberikan penampilan seperti jentera perlumbaan NSX GT3 pada Dream Project ini. Kit aero tambahan yang diberikan termasuk spoiler tambahan pada bahagian bawah bampar hadapan, panel sisi lebih lebar dengan liang udara binaan gentian karbon, diffuser belakang lebih besar, serta sayap GT belakang bagi memberikan downforce yang lebih baik.

NSX Dream Project ini turut diberikan sistem brek lebih besar binaan seramik karbon dari Brembo. Manakala untuk memberikan imej bagi memperingati NSX generasi pertama, ia turut diberikan warna badan Nouvelle Blue Pearl bersama bumbung berwarna hitam.

Masuk ke kabin pula, dapat diperhatikan tempat duduk asal digantikan dengan tempat duduk perlumbaan Recaro Pole Position dengan kemasan kulit hitam custom bersama fabrik biru (dengan elemen hexsagon, melambangkan gril sarang lebah ikonik NSX) dan serlahan jahitan biru. Tema berkenaan turut diberikan pada panel pintu, papan pemuka dan panel pada konsol tengah.

SoS turut memadankan paparan pelbagai fungsi gaugeART OLED yang ditempatkan pada kedudukan tinggi di papan pemuka bagi memudahkan pemandu memantau data penting prestasi supercar berkenaan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required