Porsche 911 GT3 dilancar di Malaysia – dari RM1.7 juta

Porsche 911 GT3 dilancar di Malaysia – dari RM1.7 juta

Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah melancarkan Porsche 911 GT3 baru untuk pasaran Malaysia. Model ini pertama kali muncul bulan Mac lalu, dan kita adalah negara pertama yang menerimanya di dalam pasaran ASEAN. Model baru ini kini menggunakan badan 991 facelift.

911 GT3 baru ini ditawarkan bersama transmisi klac berkembar PDK tujuh kelajuan, tetapi mereka yang mahukan pemanduan sebenar, boleh menempah kotak gear manual enam kelajuan melalui SDAP. Ini adalah satu pilihan yang bakal memuaskan kaki kereta, kerana sebelum ini, 911 GT3 hanya ditawarkan dengan kotak gear PDK sahaja. Enjin untuk model baru ini adalah unit 4.0 liter NA enam silinder dengan kuasa 500 hp pada 8,250 rpm dan 460 Nm tork pada 6,000 rpm.

Secara kasarnya, enjin ini tidak banyak berubah berbanding enjin yang terdapat pada kereta lumba 911 GT3 Cup, dan sama dengan yang terdapat pada GT3 RS serta 911 R keluaran terhad sebelum ini. Walaubagaimanapun, bahagian dalam enjin 911 GT3 baru ini telah mengalami perubahan untuk membolehkannya pergi ke rpm lebih tinggi, iaitu sehingga 9,000 rpm.

Porsche 911 GT3 dilancar di Malaysia – dari RM1.7 juta

Dengan tetapan kotak gear PDK, 911 GT3 mencatat berat 1,430 kg dan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat – 1/10 lebih pantas berbanding kereta sebelum ini – sebelum mencapai laju maksimum 318 km/j. Apabila memilih kotak gear manual pula, beratnya berkurangan sebanyak 17 kg, tetapi pecutan 0-100 km/j menjadi 3.9 saat.

Untuk dinamik pemanduan yang lebih baik, bahagian casis turut dipertingkat, di mana ia kini duduk 25 mm lebih rendah berbanding Carrera S standard, dan masih lagi terdapat active rear steering, tapak enjin aktif dan locking rear differential.

Seperti juga 991 facelift yang lain, model GT3 ini menerima pelbagai perubahan bahagian luar yang termasuk lampu rekaan baru dengan lampu siang LED, pembuka pintu yang tenggelam di permukaan dan lampu belakang baru. Muka hadapan khas untuk GT3 juga telah diubah menjadi lebih lebih berpetak, dan mempunyai diffuser belakang, manakala lubang udara turut ditambah pada penutup enjin di belakang. Terdapat juga sayap belakang gentian karbon baru.

Pada bahagian dalam, GT3 ini telah diberikan roda stereng yang lebih kecil seperti model 918 Spyder (diameter 360 mm), serta sistem hiburan dan informasi Porsche Communication Management (PCM) baru serta Connect Plus Module dengan sambungan Apple CarPlay. Turut diberikan sekali adalah Porsche Track Precision App yang boleh merekod dan menganalisa data pemanduan melalui telefon pintar.

Secara standard, kereta ini datang dengan Sport Seats Plus dengan sokongan tambahan pada bahagian tepi dan pelarasan manual. Tetapi, pelanggan juga boleh memilih Adaptive Sport Seats Plus dengan pelarasan elektrik, kolum stereng kuasa dan fungsi memori. Jika mahu spesifikasi lumba, mereka juga boleh mendapatkan tempat duduk bucket penuh gentian karbon. Porsche 911 GT3 baru dijual pada harga RM1.7 juta termasuk duti, tetapi tanpa yuran pendaftaran, cukai jalan dan insurans.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Learn more:

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required