TUNGGANG UJI: Honda X-ADV punya karekter unik, dilengkapi transmisi DCT enam kelajuan yang padu

TUNGGANG UJI: Honda X-ADV punya karekter unik, dilengkapi transmisi DCT enam kelajuan yang padu

Seperti yang sudah diketahui, pilihan motosikal masa kini terdiri dalam pelbagai kategori, dengan setiap satunya mempunyai keistimewaan dan tujuan tersendiri. Semakin masa berlalu, semakin banyak juga kategori ini bertambah, mungkin kerana ingin memuaskan keperluan pengguna yang berubah atau juga pengeluar cuba menghasilkan sesuatu yang unik.

Melihat kepada skuter sahaja, selain yang berkapasiti rendah dengan sasaran penggunaan yang mudah di dalam bandar, terdapat juga skuter berkapasiti lebih besar untuk mereka yang mungkin perlukan pengangkutan jarak sedikit jauh dan ruang lebih besar, dan juga skuter sporty seperti Yamaha T-Max 530, BMW C650 GT atau Aprilia SRV850.

Kini, Honda muncul dengan produk kategori baru – sebuah motosikal automatik konsep kembara dengan rekaan dan kelengkapan yang membolehkannya ditunggang atas pelbagai permukaan termasuk jalan kasar. Nama modelnya adalah X-ADV. Bukan setakat itu, motosikal ini juga didatangkan dengan enjin berkapasiti tinggi, iaitu dua silinder 745 cc dengan sistem penyejukan cecair dan SOHC. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 54 hp pada 6,250 rpm dan 68 Nm pada 4,750 rpm.

Sebelum pergi lebih lanjut, saya ingin menyatakan bahawa, walaupun ramai yang menganggap motosikal automatik tidak dapat memberikan kepuasan menunggang sebenar kerana pengendalinya kerana tidak perlu menukar gear atau menarik klac, kewujudannya tetap dianggap berguna bagi mereka yang mungkin dulunya penunggang tegar, tetapi sekarang mempunyai masalah dengan tangan atau kaki kiri yang tidak begitu kuat. Jadi, motosikal seperti ini mungkin dijadikan pilihan untuk memuaskan jiwa.

X-ADV sebenarnya menimbulkan banyak kekeliruan dan rasa serba salah untuk memanggilnya sebagai sebuah skuter. Pertamanya kerana ia tidak didatangkan dengan transmisi CVT dan pacuan tali sawat seperti kebanyakan skuter, tetapi menggunakan unit klac berkembar DCT enam kelajuan, dan kuasa disampaikan ke tayar belakang menggunakan sistem rantai. Apapun, ia adalah sebuah lagi motosikal produksi unik daripada Honda seperti Vultus.

TUNGGANG UJI: Honda X-ADV punya karekter unik, dilengkapi transmisi DCT enam kelajuan yang padu

Minggu lalu, saya berkesempatan menyertai acara Honda Asian Adventure 2017, yang salah satu aktiviti utamanya adalah acara sesi tunggang uji di litar MIMC, Melaka. Hampir kesemua model motosikal yang ditawarkan oleh Honda dalam pasaran Asia Tenggara ada disediakan di situ, tetapi untuk model baru seperti CBR1000R, CRF1000L (Africa Twin) dan Honda X-ADV ini, unitnya agak terhad.

Memandangkan ini adalah sesi di dalam litar, 70 peserta yang hadir (dibahagikan dalam beberapa kumpulan, mengikut negara) kebanyakannya mensasarkan model sports, dan saya mengambil peluang ini untuk memilih X-ADV. Dalam kepadatan dan kekecohan acara ini, saya berjaya mendapatkan X-ADV untuk sesi suai kenal seperti litar mengambil lesen, dan sesi tunggangan litar penuh beberapa pusingan (1.6 km satu pusingan).

Sebelum pergi ke rasa tunggangannya, kita lihat dulu rekaan motosikal ini. Walaupun adalah sebuah motosikal automatik, X-ADV membawa gaya yang ganas dan moden hasil penggunaan banyak garisan tajam berserta lekuk-lekuk yang kompleks. Jarak di antara kedua rodanya adalah 1,590 mm, tinggi tempat duduk 820 mm, manakala jarak kelegaan dari tanah pula adalah 162 mm.

Sekiranya anda memerlukan perbandingan atau penanda, bermula dengan Honda CB500X, jarak kelegaan dari tanah X-ADV ini lebih rendah 8 mm, manakala jika dibandingkan pula dengan NC750X, yang juga berkongsi asas sama, ia lebih rendah 3 mm.

Konsep kembara yang mahu diketengahkan disampaikan melalui penggunaan barangan seperti penghadang tangan, pelindung bahagian depan enjin dan rim jenis lidi; depan 17 inci dibalut dengan tayar 120/70 dan belakang bersaiz 15 inci bersama tayar 160/60. Penghadang udara di hadapannya pula boleh dilaras dalam beberapa kedudukan, tinggi dan rendah. Salah satu perkara menarik dalam rekaan ini adalah untuk peletak kaki penumpang belakang, ia boleh dilipat sehingga menjadi rata dan tersembunyi pada panel badannya.

Satu perkara yang memeranjatkan saya setelah memerhati spesifikasi X-ADV ini adalah pada 238 kg, ia sebenarnya 42 kg lebih berat berbanding CB500X. Tetapi, berat itu sebenarnya tidak begitu terasa, walaupun saya menunggang perlahan dalam sesi awal yang mana litar disusun seperti cabaran mengambil lesen. Antara penyumbang kepada pengendalian yang mudah ini mungkin adalah kedudukan tegak serta keseimbangan berat motosikal yang baik.

Saya boleh bayangkan, kalau diguna dalam kawasan bandar, X-ADV tidak akan memberi masalah menyelinap dalam kesesakan dan tidak akan memenatkan penunggang. Selain itu, kalau dilihat terus dari hadapan pula, ia ini tidak begitu lebar seperti kebanyakan skuter maxi yang lain.

Dengan menggunakan enjin 745 cc sama seperti Honda Integra dan model siri NC, jelas, X-ADV bukanlah calang-calang motosikal walaupun menggunakan transmisi automatik. Kuasa yang terhasil mampu memberikan tunggangan yang bersemangat, manakala transmisi klac berkembar DCT enam kelajuan pula menghasilkan penukaran gear yang lebih padu.

Teknologi yang digunakan pada motosikal ini seperti mengingatkan saya kepada kereta, dan ia juga didatangkan bersama mod Sport. Butang pilihan mod ini berada pada pemegang sebelah kanan, iaitu pada bahagian sama yang anda perlu tekan untuk memilih sama ada gear jalan (D) atau bebas (N). Di sebelah D itu, barulah terdapat pilihan S untuk Sport.

Disebabkan banyak rekaan yang di luar kebiasaan pada motosikal ini, saya hanya tersedar ada butang S selepas beberapa pusingan. Walaupun begitu, dalam kedudukan D sahaja ia sudah boleh menghasilkan prestasi yang memuaskan untuk tunggangan dalam litar. Cumanya apabila menggunakan mod S, kadar rpm dapat dibawa lebih tinggi sebelum gear bertukar, dan ia lebih responsif.

TUNGGANG UJI: Honda X-ADV punya karekter unik, dilengkapi transmisi DCT enam kelajuan yang padu

Kemudiannya, walaupun merupakan sebuah motosikal automatik, X-ADV ini juga turut menyediakan kawalan gear naik dan turun seperti manual untuk penunggang. Ia dapat dilakukan menggunakan butang di bahagian kiri pemegang, dan untuk menaikkan gear anda perlu menarik butang menggunakan jari telunjuk, manakala untuk menurunkan gear, anda perlu menekan dengan ibu jari.

Sempat juga saya mencuba ciri ini, dan merasakan untuk naik gear, ia tidak begitu perlu, tetapi untuk menurunkan gear saya lebih gemar menggunakannya kerana ada ketika, bila membrek dengan kuat sebelum selekoh, terdapat sedikit kelambatan untuk gear turun secara automatik. Melalui kawalan manual ini, saya dapat menurunkan gear sebelum selekoh seperti yang dimahukan dan mendapat kuasa brek enjin (engine braking).

Memanglah X-ADV ini lebih mahu mengetengahkan konsep kembara, tetapi anda juga tidak boleh memandang rendah terhadap kemampuannya untuk mengambil selekoh. Selepas pengalaman di dalam litar MIMC ini saya boleh katakan dengan yakin ia boleh berhadapan dengan selekoh secara mantap dan memberi keyakinan kepada penunggangnya. Antara faktor penyumbang kepada perkara ini adalah tetapan baik kelengkapan seperti fork USD di hadapan dan monoshock dengan Pro-Link di belakang.

Untuk tunggangan biasa, antara kelengkapan lain pada X-ADV yang dapat menambah kesenangan dan keselesaan penggunanya adalah tempat duduk yang lebar dan empuk, sistem tanpa kunci, ruang barangan 21 liter (boleh memuatkan helmet full face), soket pengecas USB di bawah tempat duduk, meter digital gaya rali yang lengkap dengan pelbagai informasi dan tangki minyak 13.1 liter.

Walaupun keadaan permukaan di litar MIMC ini agak teruk, ia masih adalah jalan berturap dan saya tidak dapat menyatakan bagaimana prestasi X-ADV ini di jalan offroad, melainkan jika saya masuk pula tiba-tiba ke bahagian berumput di litar tersebut. Disebabkan itu, saya hanya boleh menilainya daripada luaran sahaja.

Jika boleh dibawa ke jalan kasar pun, saya rasakan X-ADV ini cuma untuk ringan-ringan sahaja, ataupun light offroad. Meskipun ia terletak lebih tinggi dan mempunyai gaya kembara, saya kurang yakin dengan bahagian bawah enjinnya yang kelihatan terdedah. Anda boleh lihat perkara ini melalui gambar saya mengambil selekoh di dalam galeri. Penghadang lumpur roda hadapan pula agak rapat dengan tayar. Jika dibawa offroad, hayatnya memang tidak lama.

Seterusnya, saya juga ada cuba untuk berdiri di atas motosikal ini, kerana kedudukan itu adalah penting untuk pemanduan offroad. Dengan platform kaki yang ke hadapan seperti itu, ia ternyata tidak selesa. Tetapi, perkara ini dapat diselesaikan dengan mendapatkan aksesori yang ada dijual oleh Honda, iaitu peletak kaki penunggang yang lebih ke belakang.

Kemudiannya, di Eropah, X-ADV turut dianggap sebuah motosikal yang mahal dengan harga hampir 10,000 pound (RM56,191). Dengan kira-kira duti dan cukai di negara kita yang berlainan, harganya pasti jadi lebih tinggi. Setakat ini untuk Malaysia, Boon Siew Honda tidak menyatakan apa-apa berkenaan mahu membawa masuk model ini. Walaubagaimanapun, sudah ada pengimport persendirian yang membawanya masuk dan daripada apa yang saya nampak, harganya hampir mencecah RM100,000.

Ini mungkin sudah keterlaluan dan akhirnya akan sekadar menjadi mainan untuk mereka yang berada. Tapi yang pastinya, X-ADV ini adalah sebuah motosikal yang unik dan seronok untuk ditunggang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required