Perodua Myvi – sudah 12 tahun jadi cinta hati Malaysia

Perodua Myvi – sudah 12 tahun jadi cinta hati Malaysia

Di United Kingdom ada Mini Mk1, di Jerman ada Volkswagen Beetle, dan di Malaysia, kita ada Perodua Myvi. Apa persamaan antara semua model kereta ini? Ia diterima baik pelbagai golongan, dijual dalam jumlah yang banyak dan hampir keseluruhan orang di negara tersebut kenal dengan kereta yang dinamakan. Ia juga mengatasi kereta-kereta lain yang biasanya untuk satu model, hanya boleh bertahan selama sekitar lima tahun.

Perodua Myvi adalah tanda langkah baru bagi Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) semasa ia baru diperkenalkan pada tahun 2005, iaitu 12 tahun yang lalu. Jika sebelum itu, Perodua lebih tertumpu kepada kenderaan kompak kecil seperti Kancil, Kelisa dan Kenari, Myvi pula menandakan permulaan saingan terus Perodua terhadap Proton. Pada masa itu, seteru Myvi daripada Proton adalah Savvy.

Asalnya, Myvi ini terletak dalam segmen yang lebih tertumpu (niche), dan Perodua sendiri pada masa itu tidak tahu bahawa pengguna di Malaysia akhirnya tidak pernah puas dengan Myvi. Generasi pertama Myvi diasaskan daripada Daihatsu Boon/Toyota Passo, ditawarkan dengan dua enjin berbeza iaitu 1.0 liter tiga-silider DOHC DVVT dan juga 1.3 liter empat-silinder DOHC DVVT.

Selain harga yang mampu milik iaitu bermula sekitar RM41,000 hingga RM51,000, Myvi juga menjadi pilihan ramai kerana ia praktikal, kompak di luar tetapi luas di dalam, mudah untuk dikendali, boleh dipercayai dan ekonomikal. Bukan setakat sebagai kereta pertama, Myvi juga menjadi pilihan sebagai kereta kedua bagi sesetengah orang yang tidak mahu pening kepala.



Baris atas (L-R): Generasi pertama facelift 2008, generasi kedua Standard 2011,
Baris bawah (L-R): Generasi kedua Extreme 2011, Generasi kedua facelift Advance 2015

Masuk tahun 2011, barulah Myvi generasi kedua dilancarkan untuk pasaran Malaysia dengan pelbagai peningkatan dilakukan. Ini adalah selepas Myvi SE diperkenalkan pada tahun 2007, dan Myvi facelift pada tahun 2009. Penggayaan model generasi kedua ini hampir sama, tetapi lebih bulat dan sporty, manakala sistem stereng pula dinaik taraf kepada sistem kuasa elektrik, dan dua beg udara diberikan secara standard.

Untuk model asas Myvi generasi kedua ini, enjinnya telah diganti dengan enjin K3-VE 1.3 liter DOHC DVVT, dan satu lagi pilihan yang lebih berkuasa turut disediakan iaitu Myvi 1.5 berenjin 3SZ-VE 1.5 liter DOHC DVVT. Versi transmisi manual model 1.5 liter ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 9.98 saat, menjadikannya kereta produksi paling pantas pernah dihasilkan Perodua.

Empat tahun selepas pelancarannya, Perodua melakukan facelift kepada Myvi generasi kedua, di mana ia mempunyai lebih banyak ciri dan dibangunkan berdasarkan maklum balas daripada orang ramai. Selain itu, beberapa ciri khas untuk keperluan pengguna Malaysia turut dipasang, seperti tempat meletak beg tangan di antara dua tempat duduk hadapan. Pada bulan Jun 2017, Perodua mencapai satu tahap baru apabila sebanyak 1,000,000 buah Myvi telah dihasilkan oleh kilangnya.

Disebabkan Myvi ini cukup popular, kelengkapan modifikasinya juga mudah didapati, selain turut berkongsi alat ganti dengan model Daihatsu Boon dan Toyota Passo. Begitulah betapa serba bolehnya Myvi – selain jadi pilihan yang praktikal, mereka yang gemar mengubah suai juga boleh puas menggunakannya. Ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah ada juga individu dari Jepun yang membeli Myvi 1.5 Extreme untuk diimport masuk ke negara beliau dan diubah suai oleh Fujita Engineering (FEED).

Perodua Myvi – sudah 12 tahun jadi cinta hati Malaysia

Myvi Edisi Khas Ulang Tahun ke-10

Kini, tibalah masanya untuk satu lagi tonggak sejarah baru untuk Myvi dan Perodua. Model generasi ketiga telah diperkenalkan, satu perkara yang dipastikan, ia tetap mampu milik dan sesuai untuk pelbagai golongan. Walaupun begitu, Myvi generasi ketiga ini tetap padat dengan ciri moden, dan yang paling penting, ciri keselamatan juga dinaik taraf.

Untuk semua model, Myvi generasi ketiga ini dilengkapi dengan sekurang-kurangnya empat beg udara, ABS, EBD, Kawalan Stabiliti Elektronik (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC) dan Lampu Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS). Untuk model yang paling tinggi pula, ia ditambah dengan Advanced Safety Assist (ASA), Amaran Pra-pelanggaran, Brek automatik Pra-pelanggaran (brek kecemasan automatik pada kelajuan rendah), Amaran Pergerakan Ke hadapan dan Kawalan Salah-operasi Pedal.

Secara keseluruhannya terdapat lima varian ditawarkan untuk Myvi generasi ketiga iaitu 1.3 Standard G (MT), 1.3 Standard G (AT), 1.3 Premium X (AT), 1.5 High (AT) dan 1.5 Advance (AT). Satu perkara yang boleh dibanggakan, bahagian luar Myvi ini juga dikatakan sebagai “dilakukan oleh Perodua sendiri tanpa input dari orang luar.” Jadi jelas, bahagian atas model baharu ini bukanlah model saduran dari Daihatsu Boon atau Toyota Passo seperti model sebelum ini.

Jadi, apa pendapat anda dengan model baru ini? Adakah permintaannya akan terus meningkat dan mungkin juga mendapat perhatian dari negara luar? Kalau ya, nanti ada lah orang Jepun yang memulakan trend Myvi MDM (Malaysia Domestic Market) pula di sana. Asyik kita je yang main JDM kan?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

  • Syaiful Nizam Hassan on Nov 17, 2017 at 8:34 am

    Tukar kedudukan tempat plat pendaftaran belakang daripada bumper kepada pintu hatchback, sudah pasti lebih comel Perodua Myvi 2018 ini. Hanya menunggu ‘facelift’ sahaja lg.

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required