PT Kawasaki Motor Indonesia baru sahaja memperkenalkan model baru Ninja 250 FI untuk pasaran di sana. Secara keseluruhannya terdapat tiga variasi Ninja 250 ini iaitu yag asas pada harga Rp 61,900,000 (RM18,882), versi SE pada harga Rp 64,300,000 (RM19,614) dan 250 ABS SE Rp 71,900,000 (RM21,932).

Parubahan paling jelas yang boleh dilihat sudah tentu adalah grafik serta panel badan motosikal ini, yang pada pendapat kami, menjadikan ia lebih mirip kepada Yamaha R25, terutamanya bahagian lampu hadapan. Selain daripada itu, rekaan rim juga adalah baru, bersama tangki yang kini lebih kecil, menjadi 14 liter dari 17 liter.

Disebabkan tidak mahu ketinggalan dengan pesaing yang semakin hebat, seperti CBR250RR yang sudah memasuki pasaran, Kawasaki mengeluarkan model baru ini dengan peningkatan kuasa dan prestasi. Enjinnya masih lagi adalah unit dua silinder selari 249 cc empat strok dengan sistem penyejukan cecair dan padanan transmisi enam kelajuan, tetapi kini menghasilkan lebih kuasa iaitu sebanyak 39 PS pada 12,500 rpm dan 23.5 Nm pada 10,000 rpm. Jika dibandingkan dengan model yang dijual di Malaysia juga, jumlah ini adalah lebih banyak, di mana Ninja 250 di Malaysia cuma menghasilkan 32 PS dan 21 Nm tork.

Berat model baru ini juga berkurangan, daripada 172 kg untuk model standard (sama dengan Ninja 250 di Malaysia), menjadi 167 kg, dan untuk model ABS, ia berkurangan daripada 174 kg menjadi 167 kg. Pada bahagian suspensi, fork teleskopik hadapan Ninja 250 baru ini lebih besar, iaitu 41 mm, manakala model sebelum ini (dan juga model di Malaysia sekarang) adalah 37 mm.

Brek hadapan juga menerima sedikit naik taraf, di mana cakeranya bersaiz lebih besar 20 mm, menjadi 310 mm, manakala di belakang masih lagi menggunakan cakera 220 mm. Kelengkapan lain pula semuanya masih lagi sama seperti model sebelum ini termasuk saiz tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang.