Tempat letak kenderaan OKU – kalau ingin gunakan ruang berkenaan, ini perkara yang perlu anda tahu

Tempat letak kenderaan OKU – kalau ingin gunakan ruang berkenaan, ini perkara yang perlu anda tahu

Jika ingin menjadi warga negara yang baik, rasanya ramai yang boleh bersetuju bahawa antara perkara yang perlu kita lakukan ialah menunjukkan keprihatinan yang tinggi terhadap hal-hal berkaitan orang kelainan upaya (OKU). Dan, antara isu yang kerap dipandang mudah ialah salah guna kemudahan tempat letak kenderaan khas untuk OKU yang ada disediakan dikebanyakan tempat dan premis.

Ini tentulah untuk memudahkan mereka yang kurang upaya fizikal untuk mendapatkan ruang letak kenderaan yang lebih strategik dan hampir dengan pintu masuk utama, atau ramp untuk laluan kerusi roda sesebuah bangunan serta ruang yang lebih luas untuk memudahkan pergerakkan mereka yang sudah sedia terbatas itu.

Namun, dalam situasi-situasi tertentu, agak menyedihkan apabila ada segelintir pihak bukan OKU yang tidak menghormati perkara ini, dan menyalah-gunakan ruang berkenaan untuk kepentingan sendiri dengan meletakkan kenderaan mereka di ruang khas berkenaan. Ini bukanlah suatu kejadian yang terlalu asing, anda sendiri juga mungkin pernah melihat sendiri gelagat pentingkan diri seperti ini.

Ruang berkenaan disediakan khusus untuk memudahkan OKU. Dan, walaupun ada waktu ia kosong, pengguna selain daripada OKU tidak berhak untuk meletakkan kenderaan di sana – kerana kita tak tahu bila pemandu OKU akan memerlukan ruang berkenaan. Jadi, apa yang membolehkan seseorang itu untuk menggunakan ruang parkir berkenaan?

Berdasarkan rujukan kami kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), berdasarkan peraturan sedia ada ketika ini, pertama mereka mestilah merupakan seorang OKU yang memandu sendiri kenderaan yang telah diubahsuai untuk kegunaan OKU berdasarkan kekurangan fizikal masing-masing.

Pemandu itu pula perlulah memiliki kad OKU yang dikeluarkan jabatan berkenaan – tentunya dengan pengesahan daripada doktor. Kemudian, mereka perlu pula mendapatkan pelekat khas OKU untuk ditampal dengan jelas pada kenderaan yang akan digunakan itu tadi. Dan, pelekat itu hanya dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja. Panduan permohonannya ada di sini.

Jika menepati semua keperluan ini maka barulah anda boleh meletakkan kenderaan diruang khas OKU. Tetapi, orang biasa juga kerap menyalah-guna dan meletak kenderaan mereka di situ. Jika ini berlaku, mereka yang berbuat demikian boleh diambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada – sekiranya kereta yang diletakkan tidak mempunyai pelekat OKU.

Tempat letak kenderaan OKU – kalau ingin gunakan ruang berkenaan, ini perkara yang perlu anda tahu

Namun, penguatkuasaan ke atas perkara ini adalah tertakluk kepada bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mungkin berbeza-beza di antara satu dengan yang lain. Untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas, kami menghubungi pula Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk mengetahui lebih lanjut – sekadar dijadikan satu contoh.

Memang, MBPJ mempunyai kuasa untuk mengenakan saman atau kompaun kepada kenderaan yang melakukan kesalahan ini. Di bawah peraturan Perintah Lalulintas MBPJ dengan kesalahan meletak kenderaan di kotak khas (sewa/OKU), pelaku boleh dikenakan saman RM100 bagi setiap kesalahan. Kadar saman ini pula mungkin berbeza-beza dari PBT yang lain.

Ini adalah apa yang tertulis dalam undang-undang sedia ada ketika ini. Namun, melalui perbualan dengan seorang advokator isu-isu OKU berkaitan hal ini yang sempat kami lakukan, beliau juga mengakui sejak beberapa waktu kebelakangan ini, ada berdebatan sedang berlangsung yang mendesak supaya penjaga OKU yang menguruskan mereka juga dibenarkan meletak kenderaan diruang berkenaan ketika membawa OKU sebagai penumpang untuk urusan harian.

Terbaru, satu kes sama berlaku di Pulau Pinang di mana kereta seorang wanita yang membawa ibunya yang juga OKU berkerusi roda dikunci tayarnya kerana menggunakan ruang khas berkenaan. Menurut penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang mengambil tindakan, kereta berkenaan tidak mempunyai pelekat OKU.

Ini selari dengan penjelasan advokator berkenaan, serta sudah tertulis di dalam peraturan sedia ada bahawa setiap kereta yang diletakkan diruang khas OKU berkenaan wajib mempamerkan pelekat OKU yang dikeluarkan oleh JPJ. Setakat ini, peraturan yang ada sangat jelas.

Berikut peristiwa itu, Datuk Bandar, Datuk Maimunah Mohd Sharif akan menilai semula peraturan berkaitan tempat letak kenderaan OKU di sana. “Kami akan menilai semula garis panduan sedia ada, tentunya ada perkara yang boleh diperbaiki lagi,” ujarnya seperti dilaporkan The Star. Pelekat OKU juga diberikan kepada wanita berkenaan.

Apa yang lebih penting, kita sebagai warga negara Malaysia haruslah lebih peka dan prihatin terhadap situasi dan keadaan golongan OKU. Dan, sekiranya sudah ada peraturan yang ditetapkan, adalah lebih baik untuk kita sama-sama patuh bagi mengelakkan kesulitan yang lain kemudiannya. Bagi yang sihat dan cukup sifat, jangan pula mengada-ngada meletakkan kenderaan di ruang khas untuk OKU. Jadilah warga yang bertanggungjawab.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required