Sejak memperkenalkan aplikasi MeterOn dalam telefon pintar pada April 2015, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah menerima 1,821 aduan melalui MeterOn dan kebanyakan aduan melibatkan kes tata kelakuan pemandu taksi dan bas selain daripada aduan lebih had laju.

Menurut Ketua Pegawai Operasi SPAD Qamar Wan Noor, penumpang bas ekspres serta bas-bas berdaftar di bawah SPAD kini boleh menggunakan aplikasi MeterOn untuk membuat aduan terus kepada SPAD, laporan Bernama.

“Penumpang bas kini boleh memuat turun aplikasi MeterOn bagi telefon pintar iOS dan Android untuk membolehkan mereka menyemak status syarikat bas ekspres atau terus melapor sebarang kesalahan di bawah bidang kuasa SPAD. Suruhanjaya tidak teragak-agak mengenakan tindakan undang-undang kepada pengendali (bas dan teksi) yang didapati cuai dalam pengurusan operasi,” katanya kepada pemberita semalam.

Difahamkan, sejak aplikasi berkenaan diperkenalkan, sejumlah 35,000 pengguna telah memuat turun aplikasi itu. Sebelum ini, ia hanya banyak menerima aduan yang melibatkan perkhidmatan teksi.

Melalui aplikasi itu pengguna bas juga boleh membuat aduan syarikat bas yang melanggar peraturan selain mendapatkan beberapa maklumat lain berkaitan perjalanan dan destinasi bas terbabit melalui nombor pendaftaran bas.