Awas bagi pesalah trafik yang gagal menjelaskan kompaun bagi kesalahan di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), mulai awal tahun depan individu yang berbuat demikian bakal dibawa ke mahkamah.
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, tindakan tersebut juga diambil untuk semua saman yang dikeluarkan mulai 1 Mei tahun ini, laporan Bernama.
“Kementerian bercadang untuk memulakan pendakwaan kes AWAS mulai 2018. Justeru, kini kementerian melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang membuat persiapan untuk mengarahkan pesalah lalu lintas AWAS untuk hadir ke mahkamah. Sekarang ini jumlah kompaun adalah sebanyak RM150 tetapi apabila di mahkamah, jumlah tersebut akan dinaikkan yang mana minimum jumlah denda adalah RM300,” katanya di persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) mengenai tarikh penerima saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut.
Ab Aziz berkata bagaimanapun, untuk saman AES yang dikeluarkan pada 2012 hingga April tahun ini, tindakan masih ditangguhkan dan setakat ini sebanyak 2.7 juta saman AES telah direkodkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.