Sistem AWAS catat 11,427 kesalahan sejak dikuatkuasakan pada 15 April lalu – Langgar lampu isyarat, pandu lebih had laju paling popular

Sistem AWAS catat 11,427 kesalahan sejak dikuatkuasakan pada 15 April lalu – Langgar lampu isyarat, pandu lebih had laju paling popular

Sebanyak 11,427 kesalahan jalan raya telah direkodkan menerusi Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) di seluruh negara dalam tempoh tiga hari sejak ia dikuatkuasakan 15 April lalu.

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab. Aziz Kaprawi, daripada jumlah itu, sebanyak 5,972 kes melibatkan kesalahan melanggar lampu isyarat, manakala 5,455 lagi kes bagi kesalahan memandu melebihi had laju, laporan Bernama.

“Bagaimanapun sehingga kini, tiada penggantungan lesen memandu bagi pesalah trafik tersebut, malah setakat ini, belum ada lagi yang membayar denda bagi kesalahan dilakukan mereka,” katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Hanafi Mamat yang mahu kementerian tersebut menyatakan hasil penguatkuasaan AWAS dan bilangan lesen pesalah jalan raya yang telah digantung hasil pelaksanaan sistem berkenaan.

Ab. Aziz berkata, kerajaan telah menggantung sebanyak 1,115 lesen memandu dan membatalkan 246 lesen memandu sejak tahun 2006 sehingga Februari tahun ini.

Menurutnya, Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan lesen memandu seseorang boleh digantung apabila pemandu gagal mematuhi peraturan jalan raya dan memandu kenderaan bermotor secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

“Mahkamah juga boleh mengambil tindakan di bawah subseksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika disabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi daripada RM20,000,” katanya.

Selain itu katanya, individu yang disabit dengan kesalahan itu juga akan hilang kelayakan (digantung) daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun dari tarikh sabitan dan hilang kelayakan (digantung) selama tempoh 10 tahun dalam hal sabitan kali kedua atau seterusnya.

Dalam pada itu, Ab. Aziz berkata kerajaan juga mengambil langkah dengan memperketatkan kawalan di pintu sempadan negara bagi memastikan pemandu warga asing yang melakukan kesalahan trafik di Malaysia membayar denda sebelum pulang ke negara asal.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required