Diorama bermaksud model miniatur yang disampaikan dalam bentuk peristiwa dan mempunyai penceritaannya yang tersendiri, bukan sekadar untuk mempamerkan sesebuah model berskala semata-mata. Walaupun ia hobi yang sangat sukar untuk diceburi, diorama masih lagi mempunyai pengikutnya yang tersendiri termasuk di Malaysia.

Bagi pemodel-pemodel tempatan yang berkecimpung dengan hobi ini, nama Hasrat Adnan sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Dengan memuatnaik hasil karyanya pada akaun instagram bernama plamo_builder dan memenangi pelbagai pertandingan diorama, dia kini mempunyai pengikutnya tersendiri.

Pada acara Malaysia Hobby Expo 2017 yang berlangsung hujung minggu lalu di MAEPS Serdang, Hasrat turut membawa hasil kerjanya – dua daripadanya bertanding untuk group built dengan tema ‘Junk and Rust’ di booth Big Boys Small Toys Club Malaysia (BBSTC), manakala yang lain dipamerkan untuk tatapan orang ramai.

Walaupun agak sibuk pada hari kedua ekspo berkenaan berlangsung, Hasrat masih sempat meluangkan sedikit masanya bersama kami untuk berkongsi perjalanannya dalam dunia diorama ini.

Menurut Hasrat, penglibatannya dalam dunia diorama bermula dengan kit Kombi Van Volkswagen T2 Mooneyes pada tahun 2014. Dia mendapatkan kit tersebut kerana dia memang mengubahsuai kereta sebenarnya sendiri dan menjadi seorang yang fanatik terhadap aksesori-aksesori dari Mooneyes. Setelah menyiapkan kit tersebut, Hasrat mula ketagih dan mendapatkan kit seterusnya dan berjaya disiapkan dalam masa hanya seminggu.

Selepas mendapat rentak dengan kit-kit kereta, Hasrat kemudian mencuba pula kit motosikal. Menerusi kit motosikal juga, Hasrat mula belajar teknik-teknik custom dengan mengubahsuai kit Honda Cub standard menjadi sebuah motosikal yang berkonsepkan ‘Street Cub’. Namun, disiplin custom masih lagi belum boleh memuaskan Hasrat, di mana dia mula beralih ke diorama pula selepas itu.

Ketika aktif dalam BBSTC, Hasrat nampak ahli-ahli kelab berkenaan lebih suka untuk menghasilkan diorama berbentuk bengkel kereta. Jadi untuk projek pertamanya, beliau memilih untuk menghasilkan diorama dengan konsep bengkel motosikal. Untuk projek pertama ini, Hasrat membuat rujukan dengan bertanya kepada mereka yang aktif membuat diorama dan juga menelaah sendiri bahan-bahan rujukan di internet khususnya Youtube.

Material yang digunakan untuk diorama ini juga masih lagi belum menggunakan perlatan diorama professional dan dia menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati, contohnya menggunakan tanah betul untuk tanah pada diorama ini – akhirnya ia siap pada tengah malam tahun baru 2015.

Hasrat tidak menoleh kebelakang lagi selepas itu dan dia mula menghasilkan karya-karya lain termasuk yang dibina untuk pertandingan. Setelah pertandingan yang disertainya di Pulau Pinang pada tahun 2015, dia mula belajar bagaimana untuk menghasilkan diorama mengikut spesifikasi pertandingan antarabangsa. Dia juga telah menyertai pertandingan di Jogjakarta, Indonesia pada tahun berkenaan dan berjaya menggondol tempat pertama serta kedua.

Melihat dari hasil kerja Hasrat yang begitu teliti dan tentunya mengambil banyak masa, tentu ramai yang bertanya bagaimana beliau membahagikan masa bukan? Hasrat masih lagi seorang manusia biasa yang mempunyai kerjaya tetap serta menggalas tugas sebagai ayah kepada tiga orang anak. Menurutnya, keluarga masih lagi menjadi keutamaan, dan kerja-kerja berkaitan hobi ini kebanyakkan dilakukan pada hari cuti hujung minggu, waktu malam ketika semua urusan keluarga diselesaikan.

Dia juga menyatakan kadang kala ‘mood’ untuk membina diorama ini datang tidak tentu masa setelah mendapat ilham secara spontan, dan memaksanya berjaga tengah malam untuk menterjemahkan idea-idea yang terlintas difikiran tersebut. Jika dioramanya pada peringkat awal mengambil masa yang lama untuk disiapkan, kini dengan kemahiran yang ada serta jaringan yang memudahkannya untuk mendapatkan material, dia dapat menghabiskan satu-satu projek dalam masa sebulan jika benar-benar fokus.

Bercakap berkenaan perancangan masa hadapan, Hasrat menyatakan dia akan menyertai pertandingan Gunpla Builders World Cup (GBWC) 2017 peringkat kelayakan Malaysia (pertandingan diorama untuk model kit robot Mobilesuit Gundam) yang berlangsung mulai 28 November hingga 3 Disember di Kuala Lumpur, mempertaruhkan diorama ‘The Fallen Zaku’ yang turut dibawa ke MHX 2017.

Manakala tahun hadapan pula dia akan menyertai pertandingan Malcom di Pulau Pinang dengan membawa berberapa projek termasuk satu diorama ketenteraan yang akan dibinanya tidak lama lagi. Hasrat turut menyatakan dia merancang untuk bersara sedikit awal dari kerjayanya sekarang iaitu pada umur 50 tahun, dan akan menumpukan untuk hanya membuat diorama selepas itu.

Sehingga kini, sebanyak 11 diorama berada dalam simpanannya sendiri, manakala banyak lagi yang telah dijual kepada mereka yang berminat. Hasrat juga mengambil tempahan diorama yang dibina mengikut kehendak pelanggan. Untuk mereka yang berminat untuk melihat proses-proses pembikinan karya-karya Hasrat atau berminat untuk membeli hasil air tangannya, anda boleh lawati laman instagram dan juga facebook Plamo Builder.