Budaya automotif dalam skala 1/24 di MHX 2017

Budaya automotif dalam skala 1/24 di MHX 2017

Hujung minggu lalu ada dua acara besar yang membawa lelaki ke MAEPS Serdang iaitu Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) dan juga Malaysia Hobby Expo (MHX) 2017. Seperti juga tahun lalu, MHX menyajikan pelbagai hobi yang berkaitan dengan dunia automotif dan kaki kereta.

Selain dari kereta kawalan jauh (RC), pelbagai model diecast sama ada dari yang berskala besar seperti Auto Art sehingga ke skala kecil seperti Hotwheels dan Tarmac. Namun antara semua ini, pastinya ramai yang terpesona dengan dunia kit model plastik (plamo) dalam skala 1/24 di MHX 2017.

Tidak seperti model diecast yang dibeli dalam keadaan sempurna, model kit plastik dibeli dalam keadaan belum siap. Penggiat hobi ini bukan sekadar perlu memasang, malah setiap komponen pada kereta ini perlu diwarnakan sendiri terlebih dahulu. Dengan kelebihan bahan plastik ini juga membolehkan pemodel-pemodel melakukan pelbagai kerja custom pada hasil karya mereka.

Seperti yang anda boleh lihat di booth milik kelab Big Boys Small Toys Club (BBSTC) di MHX 2017, model-model yang ditampilkan muncul dalam pelbagai budaya automotif tulen seperti JDM, JDM Old School, K-Car, American Muscle, Stance dan juga pelbagai jentera perlumbaan sebenar dari pelbagai disiplin termasuk rali, touring car, Formula 1 dan banyak lagi.

Kebanyakkan pemodel-pemodel skala 1/24 ini juga sebenarnya terdiri dari mereka yang turut terlibat dalam budaya automotif sebenar dan turut mengubahsuai kereta masing-masing. Lumrah bagi peminat yang menjadikan automotif sebagai budaya, sudah tentu pelbagai idea berada dalam fikiran yang ingin dilontarkan pada kereta.

Namun, kekangan kewangan tentunya menjadi penghalang untuk merealisasikan idea-idea tersebut. Jadi, model plastik skala 1/24 yang menjadi platform menterjemahkan idea-idea berkenaan. Apa yang lebih menarik, kereta-kereta ini turut dipersembahkan dalam bentuk diorama bagi menambahkan lagi aspek realiti.

Pelbagai aksesori yang ditawarkan dari pelbagai pengeluar utama seperti Tamiya, Aoshima dan Fujimi. Aksesori tersebut terdiri dari pelbagai replika rim, tempat duduk bucket dan perlumbaan, ekzos, turbo dan juga pelbagai enjin jenis enjin. Namun, pengubahsuaian tidak terhad kepada hanya mengenakan komponen-komponen yang sudah siap dijual ini, malah ada pemodel yang mampu menghasilkan sendiri komponen-komponen tersebut menggunakan pelbagai bahan.

Menurut wakil BBSTC Edy Aziz, lebih 200 buah kit lengkap kereta dan motosikal dipamerkan pada MHX tahun ini. Manakala sebahagian daripadanya menyertai pertandingan yang digelar sebagai group built dengan tema ‘Fasten your seat belt’ (untuk ubahsuai kearah kereta perlumbaan litar) dan juga ‘Junk and Rust’ (yang perlu menampilkan kesan karat pada badan kereta). Kesemua binaan ini diadili oleh pemodel-pemodel profesional dari Scale Modellers Malaysia (SMM) iaitu sifu Imran Zulkifili dan C.K Loo.

Ahli-ahli yang mempamerkan hasil kerja mereka di MHX kali ini bukan hanya dari sekitar Lembah Klang, malah turut hadir dari Selatan dan Pantai Timur tanah air. Berminat dengan hobi ini? Lawati laman rasmi facebook BBSTC.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required