Toyota Gazoo Racing Festival di MAEPS, Serdang – 3 kategori, 39 pelumba gegar litar yang lebih mencabar

Toyota Gazoo Racing Festival di MAEPS, Serdang – 3 kategori, 39 pelumba gegar litar yang lebih mencabar

Selepas festival Pertama bagi Toyota Gazoo Racing (TGR) Festival 2017 pada Ogos lalu yang diadakan di Batu Kawan, Pulau Pinang, MAEPS di Serdang pula menjadi lokasi bagi festival Kedua perlumbaan tersebut yang usai semalam. Berbanding di Batu Kawan, litar sepanjang 1.9 kilometer di MAEPS lebih mencabar dengan adanya beberapa keadaan jalan yang berbukit. Malah ia juga mempunyai 17 selekoh teknikal termasuk beberapa selekoh yang berbukit.Sekaligus memberikan cabaran buat semua pelumba yang bersaing dalam Vios Challenge dengan tiga kategori iaitu Promotional (di kalangan selebriti tempatan), Sporting dan Super Sporting ( di kalangan pelumba profesional).

Pusingan pertama bagi Super Sporting Class dimulakan tepat jam 12 tengahari, dengan dibarisi 11 pelumba yang rata-ratanya pelumba profesional dalam perlumbaan kereta. Walau bagaimana pun, baru beberapa minit perlumbaan dimulakan, tercetus drama yang mendebarkan apabila jentera yang dipandu oleh Mark Darwin terbabas ke penghadang konkrit. Ini memaksa perlumbaan dihentikan buat seketika.

Apabila perlumbaan dimulakan kembali, satu lagi drama berlaku apabila jentera No.12 yang dipandu oleh Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel dilanggar dari belakang oleh William Ho. Sehingga membuatkan bampar belakang jentera Tengku Djan hampir-hampir tercabut hingga memaksa beliau kembali ke pit selepas empat pusingan, biar pun ketika itu jenteranya mendahului perlumbaan. Malah jentera William Ho turut mengalami masalah apabila skirt sisi jenteranya juga hampir tertanggal membuatkan beliau juga terpaksa ke pit untuk menanggalkan bahagian terbabit.

Toyota Gazoo Racing Festival di MAEPS, Serdang – 3 kategori, 39 pelumba gegar litar yang lebih mencabar

Bagi pusingan tersebut, Ser Meng Hui dari pasukan MMCS Racing berjaya menduduki tempat pertama, diikuti dengan Syafiq Ali dan Boy Wong Yew Choong. Sementara Tengku Djan terpaksa berpuas hati di tangga ke-lapan, manakala tiga lagi pelumba iaitu Mark Darwin, Akira Teo dan Keifli Othman gagal menamatkan pusingan atas masalah teknikal.

Bagi Pusingan Kedua kategori Promotional pula, seperti di Batu Kawan, seramai sembilan pelumba yang terdiri daripada golongan selebriti termasuk blogger terkenal mengambil bahagian. Acara yang cukup dinanti-nantikan oleh kebanyakan peminat hiburan tempatan yang turut hadir sama memeriahkan festival tersebut. Kelibat artis terkenal seperti Janna Nick, Syukri Yahya, Diana Danielle, Fattah Amin, Danny Khoo dan ramai lagi sentiasa dinanti oleh para peminatnya.

Biar pun mereka bukanlah pelumba profesional, namun aksi yang dipamerkan di litar perlumbaan juga tidak kurang hebatnya. Ini termasuklah juara TGR untuk kategori ini di Batu Kawan iaitu Shawn Lee, telah melakukan kesilapan di selekoh ke-enam pada awal perlumbaan apabila jentera No.6 yang dikendalikannya tiba-tiba berpusing dan hampir tersasar ke penghadang konrit.

Sekaligus memberikan peluang kepada pesaing terdekatnya, Syukri Yahya untuk memintas dan memecut laju meninggalkan pelumba-pelumba lain. Dengan catatan masa 26 minit 31 saat, Syukri berjaya menamatkan kesemua 16 pusingan dengan Danny Koo di tempat kedua. Manakala Diana Danielle menjadi pelumba wanita pertama yang berjaya menduduki podium dalam Vios Challnge ini apabila mendapat tempat ke-tiga dalam kategori ini.

Sementara itu, timbalan pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama, terpaksa berpuas hati di tempat ke-empat selepas ketinggalan sembilan saat di belakang Diana. Manakala aktor yang sedang hangat diperkatakan, Fattah Amin, hanya meraih di tempat ke-lima biar pun pembakar semangat utamanya, Fazura, yang juga merupakan tunangannya turut hadir dalam festival tersebut. Tiga lagi selebriti yang mengambil bahagian iaitu Janna Nick, Venice Min dan Geraldine Gan tidak dapat meneruskan perlumbaan kerana mengalami masalah teknikal.

Bagi kategori Sporting pula, yang melibatkan penyertaan terbanyak iaitu seramai 19 orang pelumba yang saling memberikan saingat sengit antara satu sama lain. Tiga pelumba, Brendan Paul, Brandon Lim dan Patrick Tam dilihat saling mencabar antara satu sama lain sejak awal perlumbaan. Pantang ada peluang muncul, pastinya ada di antara mereka yang gigih untuk mara ke hadapan bagi mendahului perlumbaan. Selepas 16 pusingan, menyaksikan Patrick Tam berjaya mengungguli tempat pertama dengan catatan masa 23 minit 49 saat. Diikuti oleh Brendam Lim dan Brendon Paul pula terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

Toyota Gazoo Racing Festival di MAEPS, Serdang – 3 kategori, 39 pelumba gegar litar yang lebih mencabar

Perlumbaan yang paling dinanti-nantikan ialah pusingan kedua bagi kategori Super Sporting. Walau bagaimana pun, ia sedikit tertunda dari waktu yang ditetapkan kerana hujan turun dengan begitu lebat. Namun demikian para pengunjung masih tidak berganjak dari grandstand bagi menantikan perlumbaan dimulakan.

Selepas hujan kembali reda, perlumbaan dimulakan, dengan kedudukan enam pelumba di petak terawal bagi pusingan terdahulu, telah ditempatkan kedudukannya di petak kebelakang. Persaingan sengit juga tidak terlepas daripada drama, termasuk sewaktu di pusingan ke sembilan yang menyaksikan Djan terlanggar sedikit jentera yang dipandu oleh Mitchell Cheah daripada pasukan Dream Chaser hingga membuatkan dia hampir tersasar. Walau bagaimana pun, Mitchell berjaya mengawal jenteranya dengan baik dan meneruskan perlumbaan.

Malah ketika melalui selekoh 16 di pusingan ke-12, jentera yang dikendalikan oleh Djan mengalami masalah tayar pancit dan ini memaksa beliau untuk menamatkan perlumbaan lebih awal. Begitu juga dengan jentera milik William Ho namun dia tetap meneruskan perlumbaan kerana keadaan tayarnya yang pancit tidak kritikal. Dalam masa 26 minit 52 saat, Mitchell Cheah berjaya melepasi garisan penamat lebih dahulu, sekaligus menobatkannya sebagai juara bagi kategori tersebut. Sementara tempat kedua diduduki oleh Boy Wong dari pasukan ST Wagan Racing dan William Ho pula di tangga ketiga.

Tamat sudah Festival TGR di MAEPS, Serdang dengan pelbagai kisah suka dan duka. Namun menurut Toyota, acara ini akan diteruskan iaitu pada 19 dan 20 Januari tahun hadapan dengan pemilihan Johor Bahru bagi lokasi ketiganya. Nantikan maklumat selanjutnya menerusi laman web rasmi Toyota Gazoo Racing Malaysia termasuk di Facebook dan Instragram. Jumpa lagi tahun hadapan!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required