Subaru XV 2018 sekali lagi menjadi tangkapan lensa, kali ini oleh pembaca Jeang Herng yang dirakam berhampiran dengan stesen LRT Asia Jaya, Petaling Jaya. Crossover berasaskan Impreza ini telah dikesan dengan dua varian iaitu spesifikasi tertinggi 2.0i-P dalam warna Sunshine Orange dan model asas 2.0i berwarna Crystal Black.
Daripada luaran, model spesifikasi tertinggi ini dilengkapi dengan lampu utama LED bersama lampu nyalaan siang LED berbentuk-C (2.0i masih mengekalkan reflektor halogen), kekemasan garisan cermin krom dan rel bumbung berwarna perak. Ia memberikan perbezaan antara kedua-dua varian, dan turut dilengkapi dengan lampu kabus hadapan, pemegang pintu berwarna perak dan roda aloi dua-tona 17-inci (bukan 18-inci seperti mana pasaran lain).
Lain-lain elemen dijangka hampir sama dengan model 2.0i dan 2.0i-S spesifikasi Taiwan, namun bukan roda besar seperti pada 2.0i-S. Di sana, 2.0i menerima unit utama skrin sesentuh 6.5-inci, akses kod PIN, tempat duduk hadapan manual dan kamera pandangan belakang, sementara 2.0i-S pula dengan elemen tambahan termasuk skrin sesentuh 8.0-inci, pendingin hawa dwi-zon, paparan pelbagai-info, kawalan kelajuan, tempat duduk pemandu dengan larasan berkuasa, papan pemuka balutan kulit dan bumbung matahari.
Bagi aspek keselamatan, model Taiwan menerima tujuh beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) dan cagak ISOFIX untuk tempat duduk belakang, sementara 2.0i-S menerima elemen tambahan kepekaan lintasan-trafik belakang, pengesan titik buta, bantuan lampu tinggi, dan bantuan tukar lorong.
Kuasanya dihamburkan dari enjin FB20 2.0 liter N/A empat-silinder yang disemak semula, kini bersama suntikan terus. Di Taiwan, penjana kuasa ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 156 PS pada 6,000 rpm dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm (lebih 6 PS berbanding sebelum ini), yang disalurkan ke Lineartronic CVT ke sistem Symmetrical All-Wheel Drive ciptaan Subaru.
Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, Motor Image iaitu pengedar tempatan Subaru di Malaysia, bakal melancarkan XV 2018 untuk pasaran tempatan dalam masa terdekat ini. Rasa tak sabar? Relaks. Nanti kami akan bawakan perkembangan selanjut mengenainya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.