Subaru XV serba baharu telah pun dilancarkan bagi pasaran serantau di Taiwan, hanya beberapa bulan selepas kali pertama SUV ini didedahkan di Geneva Motor Show tahun ini.

Bagi penggayaannya, kelihatan XV ini diolah daripada imej yang diperagakan oleh Impreza hatchback, malah turut ditampilkan dengan pelbagai elemen yang cukup rugged. Malah pada bahagian luarannya, kekemasan plastik berwarna hitam kusam menjadi pilihan, termasuk ditampilkan dengan gril hadapan dan rel bumbung yang lebih tebal serta lampu utama yang lebih tajam. Malahan XV ini kelihatan lebih sporty apabila jarak kelegaan tanahnya mencecah 220 mm berbanding 130 mm pada Impreza.

Bahagian hadapan XV 2018 ini menampilkan imej baharu dengan padanan gril haksogan dengan lapisan hitam pada bampar menampakkan sifat bergaya SUV ini. Gril tersebut turut disambungkan pada lampu utama ‘mata-helang’. Garisan berkarakter terserlah dari gerbang roda hadapan bersambung ke bahagian belakang, secara tidak langsung mewujudkan profil sisi yang lebih dinamik.

Ia juga digandingkan dengan rekaan baharu bagi rim aloi yang nampak lebih sporty dan kasual. Lampu belakang kombinasi bersama spoiler bumbung berwarna hitam dengan bampar belakang disalut lapisan hitam kusam turut menampakkan sifat rugged XV serba baharu ini.

Bahagian kabinnya juga dipertingkatkan termasuk menampilkan rekaan tempat duduk yang direka semula dan kekemasan kelabu telah menjadi pilihan bagi menyerlahkan lagi karakter XV ini. Selain itu, ia turut menampilkan papan pemuka serba baharu termasuk panel instrumen di bahagian tengah dengan paparan skrin sesentuh 8.0-inci untuk sistem infotainmen, bersama sambungan telefon pintar. Perincian jahitan berwarna jingga turut menghiasi panel instrumen sebagai pelengkap gaya bahagian kabin XV 2018 ini.

Brek parkir elektronik juga telah ditampilkan bagi menggantikan unit brek tangan pada model XV sebelumnya. Malahan saiz roda stereng juga dikurangkan bagi memberikan keselesaan yang lebih jitu, serta menambahkan nisbah pengendalian stereng (dari 14:1 ke 13:1).

Untuk pasaran Taiwan, XV akan ditawarkan dengan dua varian iaitu 2.0i dan 2.0i-S, kedua-duanya dijanakan oleh enjin petrol baharu 2.0 liter naturally-aspirated suntikan-terus empat-silinder (dengan sistem idle stop). Penjana kuasa ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 154 hp (156 PS) pada 6,000 rpm dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm, dipadankan bersama Lineartronic CVT, yang dikatakan 7.8 kg lebih ringan berbanding model XV yang terdahulu.

XV baharu ini turut menawarkan Penvektoran Tork Aktif bagi menambahkan pemanduan dinamik, bersama sistem Symmetrical AWD. Malahan kini ia juga dilengkapi dengan X-Mode untuk kawalan yang lebih baik terutamanya ketika merentasi permukaan jalan yang kurang rata.

Ia juga dibina dengan menggunakan senibina Subaru Global Platform (sama seperti Impreza baharu) yang telah diperbaharui sepenuhnya yang dikatakan mempunyai peningkatan prestasi keseluruhan yang ketara berbanding platform sebelum ini. XV serba baharu ini juga telah dipertingkatkan ketegarannya dengan pusat graviti yang direndahkan sebanyak 70%.

Elemen lain yang turut ditampilkan bagi varian 2.0i termasuklah sistem audio 6.5-inci, akses kod PIN, tempat duduk hadapan larasan manual dan kamera pandang belakang.

Sementara itu, bagi varian 2.0i-S pastinya menerima elemen yang lebih berbanding 2.0i, termasuklah lampu utama LED dengan respon stereng, sistem audio 8-inci, pendingin hawa automatik dwi-zon, paparan pelbagai-ingo gred-tinggi, kawalan kelajuan, tempat duduk pemandu larasan berkuasa dan rim aloi 18-inci yang dibaluti tayar 225/55.

Bagi aspek keselamatannya, kedua-dua varian dilengkapi dengan Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu), ABS, bantuan brek dan cagak ISOFIX pada tempat duduk belakang.

Walau bagaimana pun, varian 2.0i-S menerima kit keselamatan yang lebih komprehensif, yang tidak ditampilkan pada model semasa XV yang dijual di Malaysia. Ini termasuklah kepekaan lintasan-trafik belakang, pengesan titik buta, bantuan lampu tinggi, dan bantuan tukar lorong.

Subaru XV serba baharu ini dijangka akan tiba ke pasaran Malaysia pada suku ke-empat tahun ini dan seperti mana model XV semasa, ia juga merupakan model pemasangan tempatan (CKD).

Subaru XV 2.0i 2017

Subaru XV 2.0i-S 2017