Yamaha Indonesia telah memperkenalkan model NMax 2018, untuk pasaran di sana dan ia melihatkan beberapa perubahan dan naik taraf. Pertamanya, yang mengubah penampilan skuter ini adalah pilihan warna, di mana ia ditawarkan dalam empat warna baru iaitu hitam matte dengan rim warna emas, biru dengan rim hitam, kelabu matte dengan rim emas dan putih dengan rim kelabu. Warna hitam dan biru itu adalah warna yang ditawarkan di Malaysia pada masa ini.
Jika sebelum ini NMax datang tanpa sistem brek ABS, tapi untuk model baru ini, pilihannya sudah ada, dengan terdapat beza harga 3.9 juta rupiah (RM1,113) di antara model yang dilengkapi dengan ABS two-channel dan model yang tidak mempunyai ABS. Diharap nanti, Hong Leong Yamaha juga boleh memperkenalkan sistem ABS ini nanti untuk NMax di pasaran Malaysia.
Selain daripada itu, dua lagi perubahan ketara yang dilakukan pada NMax 2018 di Indonesia adalah panel meter LCD baru dengan pencahayaan terbalik (sebelum ini LCD tersebut menggunakan paparan belakang putih dan tulisan hitam, kini sebaliknya), dan suspensi belakang yang mempunyai tabung gas. Penggunaan suspensi ini dikatakan dapat menaikkan keselesaan serta stabil di atas pelbagai jenis jalan.
Tiada perubahan pada kuasa enjin, di mana unit satu silinder 155 cc SOHC dengan sistem penyejukan udara dan VVA padanya masih lagi menghasilkan 14.8 hp pada 8,000 rpm dan 14.4 Nm tork pada 6,000 rpm. Enjin ini adalah menggunakan sistem suntikan bahan api dan dipadankan dengan transmisi automatik jenis V-Belt.
Di Malaysia, Yamaha NMax dijual pada harga RM8,812 termasuk GST, dan terletak di bawah satu lagi skuter Yamaha yang menggunakan enjin sama, tetapi lebih sporty iaitu NVX pada harga RM10,500 termasuk GST. Keistimewaan lain NMax adalah ia dilengkapi dengan brek cakera depan dan belakang, tangki minyak 6.6 liter, lampu hadapan LED dan ruang simpanan yang luas di bawah tempat duduk.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
bila lah HLYM nak bawa masuk facelift Nmax with ABS nie to Malaysia market … tak semua org suka “sharp edge” NVX ….