Kilang Honda Suzuka membekalkan sistem transmisi i-DCD bagi pasaran global, termasuk untuk Malaysia

Kilang Honda Suzuka membekalkan sistem transmisi i-DCD bagi pasaran global, termasuk untuk Malaysia

Kenderaan hibrid kian mendapat tempat di Malaysia. Berbanding lebih lima tahun dahulu, masih ramai yang ragu-ragu untuk membeli kenderaan hibrid. Atas beberapa faktor termasuk kurang yakin dengan kredibiliti dan ketahanan bateri hibrid serta bimbang harga bateri hibrid yang mahal.

Setelah lebih sedekad, enjin hibrid kini semakin dipercayai dan harganya juga tidaklah setinggi dulu. Ini kerana pengeluar kenderaan hibrid semakin banyak menerokai teknologi ini untuk memastikan kepuasan maksimum di kalangan pelanggannya. Ini termasuklah antara pengeluar kenderaan hibrid terkemuka dari Jepun, Honda Motor Co., Ltd.

Sebelum ini, beberapa kenderaan hibrid buatan Honda seperti Jazz dan CR-Z, dilengkapi dengan teknologi Integrated Motor Assist (IMA). Namun kini Honda telah memperkenalkan pula sistem Sport Hybrid i-DCD (Intelligent Dual-Cluth Drive) yang lebih berkuasa dan lebih efisien.

Malah pada tahun ini, Honda Malaysia telah melancarkan model City dan Jazz yang dilengkapi dengam sistem Sport Hybrid i-DCD yang diperkenalkan pada model City dan Jazz untuk pasaran tempatan. Sekaligus menjadi antara bukti penerimaan teknologi ini di kalangan pengguna tempatan. Bagi mengetahui lebih jelas mengenai sistem ini, sebelum ini, penulis kami, Farid Awaludin, pernah menulis mengenainya. Anda boleh membacanya di sini.

Bagi melihat sendiri pengeluaran transmisi Sport Hybrid i-DCD, Honda Malaysia telah membawa kami melawat kilang pengeluaran ketiga Honda yang terletak di Suzuka. Walau pun tidak berpeluang melihat secara keseluruhan pengeluaran transmisi berkenaan, kerana tidak semua bahagian kilang pengeluaran ini boleh dilawati.

Mula beroperasi sejak tahun 1960, kilang di Suzuka ini merupakan kilang domestik ketiga bagi Honda. Ia membekalkan komponen ke kilang Honda di luar negara, melibatkan sebanyak 27 negara, selain untuk pasaran tempatannya sendiri. Malahan kilang ini juga berperanan sebagai “mother plant”, kerana menyalurkan sokongan teknikal kepada semua kilang Honda di luar negara. Kilang ini jugalah yang telah mula membekalkan transmisi i-DCD kepada Malaysia sejak Mei lalu, yang digunakan pada model City dan Jazz versi hibrid.

Selain itu, kilang pengeluaran Suzuka bertanggungjawab memasang City (atau dikenali sebagai Grace di Jepun), CR-Z, Fit (atau Jazz, di Malaysia), N-Box, N-One, dan N-WGN. Sebelum ini, model empat-roda Honda yang turut dipasang di sini, antaranya, Insight, NSX, RSX, S2000 dan Integra.

Menerusi lawatan ke sini, pihak pengurusan kilang membawa kami melihat sendiri beberapa proses bagi pengeluaran i-DCD termasuklah rotor dan dysprosium free magnet yang merupakan sebahagian daripada komponen untuk sistem ini. Menurut ketua jurutera bahagian terbabit, motor elektrik pada sistem hibrid i-DCD Honda kini menggunakan magnet neodymium yang dihasilkan dengan proses pemanasan tanpa sebarang material nadir bumi.

Walaupun tanpa bahan tersebut, magnet yang dibina bersama Daido Steel ini masih lagi dapat mengekalkan sifat kalis suhu panas dan prestasi medan magnet yang tinggi yang diperlukan oleh sebuah motor elektrik hibrid. Magnet mesra alam tanpa sebarang nadir bumi ini telah digunakan buat pertama kali pada Freed Hybrid pasaran Jepun tahun lalu dan kini turut digunakan pada Jazz.

Untuk magnet baharu ini, Daido mengevolusikan teknologi ubahbentuk pemanasan manakala Honda menggunakan pengalamannya di dalam pembangunan motor pacuan serta mereka semula bentuk magnet berkenaan. Honda turut mereka bentuk motor baharu yang akan menggunakan magnet baharu ini, dengan mengubah semula bentuk rotor pada motor berkenaan untuk mengoptimakan aliran fluks magnetik.

Menurut Honda, tork, kuasa dan prestasi kalis suhunya adalah sama dengan motor yang menggunakan magnet jenis konvensional. Setiap pemasangan yang dilakukan, para pekerja akan melakukan pemeriksaan menerusi komputer. Di maka komputer akan menentukan sama ada modul yang terhasil sempurna atau pun perlu di’reject’.

Kilang Honda Suzuka membekalkan sistem transmisi i-DCD bagi pasaran global, termasuk untuk Malaysia

Apabila modul terbabit lulus, barulah ia akan dipasangkan ke bahagian enjin. Enjin yang telah lengkap dengan semua modul yang diperlukan kemudiannya akan dimuatkan ke dalam engine bay bagi setiap unit kenderaan yang dipasang. Setiap proses dilakukan secara begitu teliti dan cermat oleh kakitangan operasi yang terlatih. Selain tenaga manusia, bantuan robot juga diperlukan bagi kelancaran dan memudahkan lagi proses pemasangan komponen.

Menurut Honda, sejak memulakan operasi penghasilan sistem transmisi i-DCD pada tahun 2013, sehingga kini, kilang Suzuka telah mengeluarkan lebih dua juta unit komponen terbabit termasuk bagi pemasangan model Honda di luar Jepun.

Selain melihat serba sedikit proses penghasilan transmisi i-DCD ini, kami juga dibawa melawat ke Line 2 yang bertanggungjawab memasang model N Series untuk proses peringkat akhir sebelum ia diuji dan seterusnya dihantar ke bahagian jualan. Antara proses yang dapat dilihat termasuklah pemasangan enjin dan kotak gear, tempat duduk dan tayar, proses stamping dan mengecat.

Kilang Honda Suzuka membekalkan sistem transmisi i-DCD bagi pasaran global, termasuk untuk Malaysia

Berpeluang melihat serba sedikit perjalanan proses penghasilan komponen dan pemasangan bahagian kenderaan di loji pengeluaran Suzuka ini, sebenarnya tidak banyak berbeza dengan perjalanan kerja di kilang Honda di Pegoh, Melaka.

Ini kerana sudah menjadi kemestian bagi Honda yang menetapkan tahap standard yang benar-benar mencapai kualiti yang ditetapkan bagi semua kilang pemasangannya di seluruh dunia. Malah pekerja juga dilatih oleh pakar yang bertauliah dan diperakui kemahirannya. Manakala jentera, robot dan segala macam mesin yang digunakan bagi kelancaran proses kerja juga menepati piawaian yang ditetapkan.

Begitu juga dengan tata kerja yang cukup sistematik bagi memastikan segala proses berjalan secara lancar dan efisien. Honda memang amat mementingkan kualiti biar pun harus melaburkan dalam jumlah kos yang besar demi memastikan segala produk yang dikeluarkan lebih diyakini dan paling penting menepati apa yang diperlukan oleh pasaran tempatan mahu pun global.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required