Pembuat kereta sport dari Perancis, Bugatti mengumumkan bahawa sasaran mereka untuk menyiapkan dan menghantar 70 unit hypercar Chiron berkuasa 1,500 hp kepada pelanggan telah berjaya dicapai tahun ini.
“Ia merupakan kejayaan besar untuk seluruh pasukan Bugatti kerana kami berjaya mencapai sasaran 70 kereta pada tahun penuh pertama produksi Chiron. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pembekal kami kerana komitmen mereka serta mematuhi penghantaran,” kata presiden Bugatti Automobiles S.A.S., Wolfgang Dürheimer.
“Prestasi mengkagumkan ini adalah sangat penting kerana kami sasarkan untuk mengekalkan waktu menunggu sependek yang mungkin untuk pelanggan,” tambah Dürheimer lagi.
Bugatti Chiron hanya akan dihasilkan terhad kepada 500 unit atau 50 unit lebih banyak berbanding abangnya, Veyron. Setakat ini, lebih dari 300 unit daripadanya telah berjaya dijual. Dari jumlah berkenaan, 43% tempahan adalah dari Eropah, 26% dari Amerika Utara (AS dan Kanada), 23% dari Timur Tengah manakala 8% selebihnya adalah dari Asia Pasifik.
Chiron diperkenalkan buat pertama kali pada Geneva Motor Show 2016, dijana enjin W16 8.0 liter dengan empat pengecas turbo menghasilkan tork maksima 1,600 Nm. Produksi model ini dijalankan di ibu pejabat Bugatti yang terletak Molsheim, Alsace, Perancis bermula suku keempat 2016, manakala unit pertama diserahkan kepada pelanggan adalah pada Mac tahun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.