Hyundai Kona 2018 dilancarkan di Singapura – dua varian, enjin turbo 1.0L & 1.6L, harga bermula RM270k

Hyundai Kona 2018 dilancarkan di Singapura – dua varian, enjin turbo 1.0L & 1.6L, harga bermula RM270k

Pencabar Honda HR-V dari Korea –Hyundai Kona– akhirnya tiba di ASEAN, atau lebih spesifik ia diperkenalkan terlebih dahulu di seberang Tambak Johor. Dilancarkan ketika berlangsungnya Singapore Motor Show 2018, crossover ini ditawarkan dalam dua piihan enjin untuk pasaran republik berkenaan iaitu 1.0 liter Turbo dan juga 1.6 liter Turbo T-GDI.

Model dengan kapasiti paling rendah dijana enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus yang berupaya menjana 120 PS pada takat 6,000 rpm dan juga tork maksima 172 Nm pada takat 5,500 rpm. Tiada pilihan transmisi automatik untuk versi ini di mana ia hanya diberikan kotak gear manual-enam kelajuan dan hanya memacu roda hadapan.

Untuk model paling berkuasa pula, ia dijana enjin 1.6 liter empat-silinder turbo T-GDI yang mengekstrak 177 PS pada takat 5,500 rpm dan juga tork maksima 265 Nm bermula 1,500 hingga 4,500. Versi ini pula hanya dipadankan dengan kotak gear klac-berkembar automatik tujuh-kelajuan dan kuasa dihantar ke kesemua roda yang turut diberikan fungsi 4WD lock bagi mempertingkatkan daya cengkamannya pada laluan licin.

Hyundai Kona 2018 dilancarkan di Singapura – dua varian, enjin turbo 1.0L & 1.6L, harga bermula RM270k

Sistem suspensi belakang juga berbeza antara kedua-dua model ini. Varian 1.0 liter turbo hanya diberikan sistem ringkas torsion beam untuk suspensi belakang, manakala model 1.6 liter diberikan suspensi jenis multilink yang lebih kompleks dan jitu pada bahagian yang sama.

Pada bahagian luaran, kedua-dua varian Kona kelihatan hampir sama dan dihanya dibezakan dengan kemasan jalur perak pada pintu hadapan dan belakang (model 1.0 liter tiada) dan juga lencana varian pada bahagian pintu tailgate. SUV segmen-B ini diberikan ciri seperti lampu nyalaan siang LED, lampu hadapan dan belakang LED, spoiler bumbung belakang serta bumbung berwarna hitam. Kedua-dua versi juga diberikan rim aloi 17-inci, dibalut dengan tayar 215/55R17 dari Nexen.

Masuk ke bahagian dalaman pula, ciri yang membezakan antara dua varian ini adalah pada panel kawalan penghawa dingin di mana model 1.0 liter diberikan panel analog dan sistem manual, manakala versi 1.6 liter menerima panel paparan digital bersama sistem automatik. Kona juga diberikan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, serta sistem pengecas telefon pintar tanpa wayar.

Papan pemuka untuk versi 1.6 liter turbo (kanan) dan 1.0 liter turbo (kiri)

Dengan sistem transmisi berbeza, konsol gear antara kedua-dua versi ini juga berlainan. Dapat diperhatikan, hanya model 1.6 liter diberikan butang 4WD-lock dan juga Drive Mode pada bahagian berkenaan, manakala kedua-duanya diberikan butang untuk sistem bantuan menurun bukit dan juga auto start/stop untuk enjin.

Untuk keselamatan pula, Kona pasaran Singapura diberikan sistem pemantau titik buta bersama amaran lintasan trafik belakang, dan turut dibantu penderia parkir pada bahagian hadapan dan belakang.

Secara keseluruhan, sebanyak 10 warna luaran ditawarkan dan hanya warna hitam ditawarkan untuk bahagian dalaman. Hyundai Kona dijual pada pasaran Singapura bermula SGD89,999 (RM270k) untuk varian 1.0 liter turbo dan SGD131,999 untuk (RM395K) untuk versi 1.6 liter turbo.

GALERI:Hyundai Kona 1.6 L Turbo T-GDI 4WD 2018 pasaran Singapura

GALERI:Hyundai Kona 1.0 L Turbo T-GDI 2WD 2018 pasaran Singapura

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required