Hyundai Veloster 2019 tampil di Detroit – model biasa 2.0L dan 1.6L Turbo disertai model prestasi 275 hp

Hyundai Veloster 2019 tampil di Detroit – model biasa 2.0L dan 1.6L Turbo disertai model prestasi 275 hp

Hyundai Veloster 2019 akhirnya diperkenalkan semasa North American International Auto Show (NAIAS), dan kini menjadi model terkini yang terletak di bawah jenama sub N pengeluar tersebut yang berorientasikan prestasi.

Terdapat dua model bagi Veloster baru ini iaitu standard dan Turbo. Bagi model standard, ia dikuasakan oleh enjin empat silinder petrol 2.0 liter Atkinson-cycle, yang dipadankan dengan sama ada transmisi manual enam kelajuan atau automatik. Enjin ini menggantikan unit 1.6 liter NA yang digunakan sebelum ini, dan mampu menghasilkan sebanyak 147 hp pada 6,200 rpm dan 179 Nm tork pada 4,500 rpm – tambahan 15 hp dan 16 Nm.

Model Turbo pula, dipasang dengan enjin empat silinder 1.6 liter turbo yang sama seperti sebelum ini, dengan kuasa sebanyak 201 hp pada 6,000 rpm dan 264 Nm tork pada antara 1,500 hingga 4,500 rpm – fungsi overboost pula boleh memberikan tork sehingga 274 Nm. Pilihan transmisi untuk model turbo ini termasuk manual enam kelajuan dan automatik klac berkembar tujuh kelajuan dengan pedal penukar gear di stereng dan Shiftronic.

Tidak cukup dengan itu, model turbo ini juga dipasang dengan sistem yang digelar sebagai Active Sound Design, yang diberitahu oleh Hyundai dapat “meningkatkan karekter bunyi intake dan ekzos di dalam kabin untuk menjadikan pemanduan lebih memuaskan.” Model ini juga mendapat steering rack dengan nisbah lebih pantas dan suspensi talaan sport.

Hyundai Veloster 2019 tampil di Detroit – model biasa 2.0L dan 1.6L Turbo disertai model prestasi 275 hp

Kedua-dua model Veloster baru ini datang dengan tiga mod pemanduan iaitu Normal, Sport dan Smart. Turut diberi adalah Torque Vectoring Control (TVC) yang menggunakan pengesan pada roda bersama algoritma ESC untuk mengaktifkan kuasa brek lebih tepat pada bahagian dalam roda sewaktu mengambil selekoh.

Daripada aspek rekaan, Veloster ini masih kelihatan sama secara asasnya dengan model sebelum ini. Walaubagaimanapun, beberapa bahagian diubah termasuk gril yang lebih lebar, lampu hadapan lebih tajam dan bentuk bampar baru. Garis bumbung dan tingkap juga diperelok untuk memberi ruang kepada lebih baik. Pada bahagian belakang, selain rekaan lampu baru, kedua model yang ada juga boleh dibezakan dengan muncung ekzosnya – satu untuk model standard dan dua untuk model turbo.

Masuk ke dalam, kita dapat menyaksikan rekaan papan pemuka baru yang menggunakan bahagian utama berbentuk V bagi meletakkan kawalan sistem hiburan dan pendingin hawa. Di atasnya pula terdapat skrin sesentuh terkeluar yang diapit dua corong pendingin hawa.

Turut diubah adalah bahagian konsol tengah, melihatkan penggunaan pembahagi yang lebih tinggi di antara bahagian di hadapan pemandu dan penumpang. Juga baru adalah roda stereng dan panel instrumen untuk pemandu – dengan terdapat corak berpetak di dalamnya.

Bagi pasaran Amerika Syarikat, terdapat dua varian untuk model 2.0L iaitu Veloster dan Veloster 2.0 Premium. Model Turbo pula datang dalam tiga pilihan iaitu Turbo R-Spec, Turbo dan Turbo Ultimate. Bergantung kepada model, senarai kelengkapan boleh termasuk rim 17 atau 18 inci, skrin hiburan tujuh atau lapan inci, lampu utama projector atau LED, panel instrumen 4.2 inci berwarna, bumbung suria, head-up-display dan tempat duduk larasan kuasa.

Untuk aspek keselamatan, varian paling atas iaitu Turbo Ultimate datang paling lengkap dengan termasuk Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Lane Keeping Assist (LKA), High Beam Assist (HBA), Driver Attention Warning (DAW), Blind-Spot Collision Warning (BCW) dan Rear Cross-Traffic Collison Warning (RCCW). Semua model datang secara standard dengan enam beg udara.

Hyundai Veloster 2019 tampil di Detroit – model biasa 2.0L dan 1.6L Turbo disertai model prestasi 275 hp

Itu bagi model Veloster biasa. Menariknya, Hyundai turut memperkenalkan sebuah model yang lebih berprestasi iaitu Veloster N. Ia menggunakan enjin empat silinder turbo 2.0 liter Theta T-GDI dengan kuasa sebanyak 275 hp pada 6,000 rpm dan 353 Nm tork pada antara 1,450 hingga 4,700 rpm. Ini adalah enjin sama yang digunakan pada i30N hatchback dengan Performance Package.

Satu-satunya pilihan transmisi yang disediakan melalui model ini adalah transmisi manual enam kelajuan dengan nisbah yang pendek, berserta sistem rev-matching waktu menurunkan gear. Turut disediakan adalah sistem ekzos aktif yang akan memberikan bunyi lebih sporty.

Bagi memadankan pengendalian dan kuasa Veloster N ini, ia dilengkapi dengan geometri suspensi unik dipanggil N Power Sense Axle. Rekaannya menampilkan radius tanpa geseran untuk kendalian stereng lebih tepat, tindak balas lebih pantas dan rasa yang lebih terus.

Pada bahagian lain, terdapat penyokong strut belakang untuk menguatkan suspensi multi-link di belakang, seterusnya menjadikan kereta lebih tegar. Suspensi kenderaan ini juga boleh dikawal secara elektronik dengan beberapa mod termasuk yang fokus kepada pemanduan dalam trek – N Mode.

Untuk mod pemanduan N Grin Control System pula, terdapat lima mod yang boleh dipilih – Normal, Sport, N, Eco and N Custom – setiap satunya memberikan karekter berbeza bagi pelbagai sistem yang ada. Jika itu tidak mencukupi, pemilik juga boleh menikmati sistem N Corner-Carving Limited-slip Differential elektronik dan cakera brek juga agak besar – 13.6 inci di hadapan, dan 12.4 inci di belakang.

Untuk membezakan model N ini dengan model biasa, ia dilengkapi dengan gril dan bampar baru yang mempunyai jalur warna merah, serta bukaan udara tambahan untuk menyejukkan sistem brek. Turut ditambah adalah side skirt, spoiler belakang yang besar, diffuser belakang serta muncung ekzos yang besar. Rim yang digunakan bersaiz 19 inci, bersama tayar Pirelli P-Zero saiz 235/35. Rim 18 inci pula dipadankan bersama tayar Michelin Pilot SuperSPort 225/40.

GALERI: Hyundai Veloster 2019


GALERI: Hyundai Veloster N 2019

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required