Bentley Bentayga W12 di Malaysia – bermula RM2 juta

Bentley Bentayga W12 di Malaysia – bermula RM2 juta

Bentley Bentayga merupakan percubaan jenama mewah ini untuk menghasilkan sebuah SUV. Menggunakan platform MLB oleh Volkswagen (yang turut digunakan oleh Audi Q7, Porsche Cayenne dan Lamborghini Urus), ia memberikan kelebihan kepada SUV ini untuk menjelajah permukaan yang lebih mencabar berbanding model-model mewah lainnya sebelum ini.

Ia ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin, bermula dengan model asas dengan enjin V8 turbodiesel. Ini unit yang sama diambil dari Audi SQ7 TDI dengan janaan kuasa 429 hp dan 900 Nm. Dengan bacaan 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat, Bentley menyifatkannya sebagai SUV paling laju di dunia.

Selain itu, ada juga enjin baru V8 petrol ditawarkan, yang datangnya dari satu lagi model keluarga Volkswagen Group, Porsche Cayenne Turbo. Kuasa yang dihasilkan ialah 542 hp dan 770 Nm tork, menjadikannya model paling sporty dalam barisan penawarannya, dan memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 4.5 saat. Laju maksimumnya ialah 290 km/j.

Bentley Bentayga W12 di Malaysia – bermula RM2 juta

Di Malaysia, dua model yang anda lihat ini pula dikuasakan oleh enjin W12 6.0 liter turbocaj berkembar, menghasilkan 600 hp dan 900 Nm tork. Bacaan 0-100 km/j yang dicatatkan lebih pantas; 4.1 saat dan laju maksimum yang mampu dicapai 301 km/j. Dengan berat 2,422 kg, boleh tahan juga prestasi SUV ini, kan?

Enjin ini diperbaharui untuk Bentayga, dengan 25% lebih pendek berbanding enjin V12 tradisional. Semua model dilengkapi dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan ZF serta hadir dengan sistem pacuan semua roda yang diambil dari sistem Audi quattro. Untuk tambah cengkaman, ada torque sensing limited slip differential, dan dibantu juga oleh suspensi udara talaan ketinggian sendiri dari sistem Bentley Dynamic Ride.

Terdapat 17 pilihan warna dengan 90 tona berbeza dari ditawarkan. Kiri standard yang lain terdiri daripada lampu utama LED matrix serta lampu belakang dengan grafik bentuk B, sebagai perlambangan jenama ini. Pilihan rim antara 20-inci hingga 22-inci, dengan pakej penggayaan pilihan ditawarkan.

Bentley Bentayga W12 di Malaysia – bermula RM2 juta

Seperti unit yang dilihat ini, ia terdiri daripada bodykit gentian karbon 12-bahagian, termasuk spoiler dan lip di depan dan belakang. Pilihan ini saja menelan belanja sebanyak RM128,000. Ia hadir sebagai SUV lima-tempat duduk sebagai standard, tetapi pilihan untuk tujuh-tempat duduk atau empat-tempat duduk yang lebih premium dengan konsol tengah turut ditawarkan sebagai pilihan.

Kerusinya saja ada 15 skim warna yang ditawarkan bagi upholstery kulitnya. Satu fakta menarik; setiap tampat duduk ini diperbuat daripada hampir 5,500 jahitan individual. Tempat duduk pemandu dan penumpang hadir dengan pelarasan 22-cara dengan ciri pemanas, liang udara serta fungsi urut. Stereng juga dipadankan dengan balutan kulit yang sama, serta paddle shifter dengan permukan kesat agar mudah disentuh.

Di tempat duduk belakang, pakej hiburan termasuk sepasang skrin sentuh 10.2-inci. Ia menggunakan perisian Android OS dengan kamera hadapan yang turut bertindak sebagai vanity mirror; ini pula menelan kos RM33,800.

Bentley Bentayga W12 di Malaysia – bermula RM2 juta

Jika mahu sistem audia pula, ia menggunakan set dari Naim, dengan tambahan kos RM39,600. Naim Audio untuk Bentley disifatkan sebagai sistem audio paling berkuasa yang ada pada mana-mana SUV ketika ini. Ia menampilkan amplifier 1,950 watt, 21-saluran dengan 20 pembesar suara.

Ciri rekaan lain termasuk papan pemuka simetri ala sayap dan setiap corong udara diperbuat daripada aluminium. Ditengah-tengah pula terdapat sebuah papan skrin sentuh lapan-inci yang sensitif dengan perisian khusus Bentley.

Bahagian bawah ditengah itu juga terletak banyak suis kawalan, dengan satu tombil utama untuk pemandu memilih antara lapan mod pemanduan yang disediakan. Juga ada sepasang butang yang membolehkan ubahan terhadap ketinggian kenderaan. Butang yang sama juga ada pada ruang barangan belakang (dengan kapasiti 430 liter dengan barisan kedua dinaikkan) untuk memudahkan angkat barang.

Satu aksesori yang paling menarik mungkin jam Tourbillon manual oleh Breitling dengan perumah yang diperbuat daripada emas 18 karat dan dihiasi lapan berlian. Jam mekanikal sepenuhnya ini boleh menyimpan tenaga sehingga 50 jam. Ciri ini sangat eksklusif dan ditawarkan hanya pada empat Bentayga setahun sahaja. Tetapi, ia tidak ditawarkan di sini. Kalau ada pun, harganya mencecah RM634k sebelum cukai!

Macam mana pula dengan harga Bentley Bentayga di Malaysia? Ia bermula di bawah RM2 juta bagi versi W12 (selepas cukai), manakala unit kelabu Hallmark yang dilihat ini ialah RM2.3 juta sebelum insurans. Apa pendapat anda tentang SUV terpantas ini?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required