Selepas lebih satu tahun mengendalikan pengedaran kenderaan Volkswagen secara rasmi di Malaysia, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) buat pertama kalinya telah mengadakan pembentangan prestasi kepada wakil media hari ini. Selain jumlah jualan pada tahun 2017, syarikat itu turut membentangkan peningkatan bahagian servis selepas jualan dan perancangan masa hadapan.
Untuk jualan tahun 2017, walaupun hanya satu produk dilancarkan iaitu Tiguan, VPCM masih mampu menunjukkan peningkatan sebanyak 8.1% berbanding tahun 2016, dengan keseluruhannya 6,536 buah kenderaan berjaya diserahkan kepada pemilik baru. Daripada jumlah ini 94.5% adalah unit pemasangan tempatan (CKD) manakala selebihnya adalah import.
Untuk langkah penambah baikan pengalaman selepas jualan kepada pelanggan, VPCM sentiasa menilai proses yang dilakukan, memerhati prestasi pengedar dan meningkatkan kemampuan pengurusan melalui latihan, bimbingan dan insentif buat pengedar.
Langkah yang diambil ini ternyata berhasil, apabila dilihat melalui sistem penilaian mereka, kepuasan pelanggan meningkat menjadi 4.37 untuk jualan dan 4.17 bagi khidmat selepas jualan. Markah penuh adalah 5 bintang. Menurut Malaysia Customer Service Index (CSI) Study oleh J.D Power pula, Volkswagen berjaya mendaki ke tempat kelima dari tempat kelapan pada tahun 2016.
Pengarah urusan khidmat selepas jualan, teknologi informasi dan kewangan VPCM, Florian Steiner, VPCM sentiasa terbuka dengan harga servis untuk setiap model yang dijual. Perkara ini boleh dilihat pada laman web rasmi mereka, seterusnya memberikan bakal pemilik pandangan awal bagaimana kos pemilikan kenderaan Volkswagen.
Memasuki tahun 2018, VPCM akan terus meningkatkan servis selepas jualan melalui penglibatan yang lebih aktif dengan pelanggan dan juga pengedar. Selain itu, semua kenderaan Volkswagen juga kini datang dengan jaminan pengilang lima tahun, dan pakej penyelenggaraan percuma tiga tahun atau 45,000 km.
Satu lagi langkah penting yang akan menjamin kepuasan pelanggan adalah pemindahan pusat alat ganti dari Singapura ke Tanjung Pelepas, Johor Bahru dalam tahun ini. Alat ganti dari pusat ini, selain untuk pasaran Malaysia, juga akan dieksport ke 28 pasaran lain sekitar Asia Tenggara dengan ketersediaan alat ganti berada pada tahap 95%.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.