Bakal dipertontonkan ketika Geneva Motor Show pada Mac nanti, Mazda kini telah mendedahkan beberapa gambar terawal bagi model facelift Mazda 6 2018. Dengan pengenalan ini nanti, versi wagon berkenaan akan menyertai model Mazda 6 sedan yang telah pun diperkenalkan diperingkat global tahun lalu ketika Los Angeles Auto Show.
Perubahan yang terlibat sama seperti yang dilakukan kepada model sedan, dengan bahagian depan mewarisi rekaan dari CX-5 terbaru – gril rekaan baru yang tidak lagi dilanjutkan kepada lampu utama. Selain itu, grafik pada lampunya juga diberi sentuhan baru, dengan DRL LED.
Bahagian bawah pada bamparnya juga memuatkan kemasan krom nipis pada sudutnya. Daripada gambar yang ada ini, model berkenaan kelihatan menggunakan rim 19-inci serupa yang digunakan pada sedan. Walaupun tiada gambar yang menunjukkan bahagian belakang, ia dijangka akan turut diberi perubahan.
Di bahagian dalam, suasana dan rekaan model wagon ini serupa sahaja dengan yang terdapat pada versi sedannya – dengan rekaan papan pemuka serba baru. Corong pendingin hawa kini lebih tirus, disertai dengan kemasan kayu Japanese Sen serta balutan material UltraSuede NU.
Turut akan dilakukan ialah pembaharuan kepada pilihan enjin – dengan penggunaan SkyActiv-G 2.5T turbo daripada CX-9. Ia menghasilkan 250 hp dan 420 Nm pada model sedan, dengan gandingan hanya transmisi automatik enam-kelajuan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.