Bagi menyuraikan kesesakan yang berlaku di kompleks CIQ Tambak Johor, kadar levi dan tol pada satu lagi laluan keluar masuk antara Malaysia dan Singapura iaitu Linkedua akan dikurangkan bermula esok, lapor Bernama. Kadar berkenaan bukan sahaja dikurangkan untuk kenderaan penumpang, malah ia turut berkuatkuasa untuk kenderaan-kenderaan komersial.
Dalam kenyataan dari pejabat perdana menteri minggu lalu, pengurangan levi berkenaan akan melibatkan kenderaan komersial yang keluar dan masuk ke Malaysia dan pengurangan tol pula adalah melibatkan semua kenderaan kecuali motorsikal ketika diluar waktu puncak.
“Kerajaan telah bersetuju untuk mengurangkan levi kenderaan komersial sehingga RM50 untuk kenderaan yang masuk dan keluar Malaysia, turun dari kadar semasa RM100 hingga RM200. Tambahan lagi, kadar tol di luar waktu puncak pada Linkedua, antara 10 pagi dan 3 petang serta 11 malam dan 5 pagi, untuk semua kenderaan kecuali motorsikal akan dikurangkan antara 47% dan 82% berdasarkan kelas kenderaan,” kata kenyataan tersebut.
Kadar baharu selepas pengurangan berkenaan adalah RM4 (dari RM7.50) untuk kenderaan persendirian, RM3 (dari RM5.70) untuk teksi dan RM4.50 (dari RM9.10) untuk bas. Manakala untuk kenderaan komersial (kelas dua dan tiga) pula dikenakan bayaran RM4.50 dan RM6.10 (dari RM17.10 dan RM34.30), atau sama dengan jumlah bayaran yang dikenakan di Tambak Johor.
Langkah baharu yang diambil ini dijangka akan mengurangkan kenderaan komersial yang menggunakan Tambak Johor sebanyak 40%, dan trafik berkenaan akan dialirkan ke laluan Linkedua yang menghubungkan Tanjung Kupang di Johor dan Tuas di Singapura.
Kenyataan dari pejabat perdana menteri tersebut turut menyatakan satu lagi langkah kini dijalankan oleh kerajaan untuk mengurangkan kesesakan, iaitu dengan implementasi projek Sistem Transit Rapid Johor Bahru Singapura (RTS).
“Laluan rel antara stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands Utara di Singapura dijangka akan bermula pada 2024 dan ia mempunyai kapasiti untuk membawa seramai 10,000 penumpang sejam pada setiap arah. Ia juga dijangka akan memendekkan masa perjalanan kepada 30 minit berbanding lebih sejam buat masa sekarang. Kerajaan Malaysia dan Singapura telahpun menyerahkan surat tawaran kepada syarikat yang akan membina dan mengoperasikan RTS tersebut,” jelas kenyataan berkenaan.
Sebagai tambahan, KTM turut meningkatkan frekuensi perkhidmatan Shuttle Tebrau dari 26 perjalanan kepada 31 perjalanan setiap hari. Kenyataan itu menyebut langkah jangkamasa pendek yang diambil sebelum RTS beroperasi ini membolehkan KTM membawa 1,500 penumpang lebih banyak untuk menyeberang Tambak Johor setiap hari berbanding 7,783 orang setiap hari sebelum ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.