Malaysia dan Singapura telah memeterai perjanjian dua hala bagi projek Rapid Transit System (RTS) Link, di Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia kelapan yang berlangsung di republik berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian oleh Menteri Penyelaras bagi Infrastruktur dan Pengangkutan republik itu, Khaw Boon Wan, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Sistem MRT merentasi sempadan iaitu antara Johor Bahru dan Singapura sejauh empat kilometer ini pertama kali diumumkan pada 2010 lalu. Ia dijangka akan mula beroperasi pada tahun 2024, iaitu dari stesen RTS di Bukit Chagar, Johor, ke stesen MRT Woodlands North di Singapura. Malah ia juga dilihat sebagai salah satu jalan penyelesaian yang bakal mengatasi kesesakan trafik di Tambak Johor dan Tuas pada setiap hari, laporan Bernama.

Apabila siap, RTS mampu menampung pergerakan sehingga 10,000 penumpang sejam satu arah (pphpd) atau 72,000 penumpang sehari, iaitu menampung kapasiti tambahan 60,000 pengguna pada waktu puncak berbanding purata 300 pphpd sekarang. Ia dijangka mampu mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua negara kepada 30 minit berbanding lebih sejam pada masa ini. Pada masa ini, kira-kira 400,000 pengguna melalui Tambak Johor dan Tuas setiap hari.