Walaupun trend global menunjukkan pengeluar kenderaan kini secara aktif sedang membina kenderaan-kenderaan dengan teknologi janaan elektrik serta teknologi pemanduan sendiri, kita di Malaysia sememangnya mempunyai masyarakat yang masih lagi rela memilih kereta dengan enjin pembakaran dalaman konvensional – rata-rata masih lagi ragu-ragu berkenaan ketahanan teknologi terkini, bimbang akan kos penyelenggaraan dikemudian hari, serta gusar dijadikan sebagai ‘tikus makmal’.

Namun adakah stigma tersebut hanya berlaku di Malaysia? Bagaimana pula penerimaan masyarakat di negara lain? Menurut satu kajian baharu yang dijalankan oleh Mazda, hampir 60% pemandu di Eropah melihat perkembangan yang positif terhadap enjin petrol dan diesel. Berdasarkan kajian tersebut juga mendedahkan konsumer di benua berkenaan berpendapat bahawa enjin-enjin pembakaran dalaman ini tidak semestinya tiada peranan pada kereta-kereta masa hadapan – pendapat yang sama oleh kebanyakkan organisasi.

Penyelidikan yang dinamakan sebagai Mazda Driver Project tersebut merupakan projek bersama Ipsos MORI (firma penyelidikan pasaran berpengkalan di UK), dan ia dijalankan antara 7 hingga 22 Septemer tahun lalu. Dengan jumlah undian 11,008 yang diterima dari seluruh Eropah, secara purata 58% dari mereka percaya “banyak lagi inovasi dan penambahbaikkan akan ditampilkan pada enjin petrol dan diesel.” Pendapat ini menerima undian setinggi 65% di Poland dan lebih 60% di Jerman, Sepanyol dan Sweden.

Sehingga kini, pengeluar-pengeluar kenderaan mula memperlahankan produksi-produksi kereta berkuasa diesel, tetapi pada penyelidikan ini menunjukkan 31% dari pemandu Eropah dan 58% hanya untuk di Poland “berharap kereta diesel akan terus wujud”. Projek ini turut mendedahkan 33% pemandu Eropah “memilih kereta petrol dan diesel” sekiranya kos untuk menggunakan kedua-dua jenis enjin ini adalah sama dengan kereta elektrik – di Itali, 54% bersetuju dengan sentimen ini.

Untuk teknologi pemanduan sendiri pula, hanya 33% pemandu Eropah “mengalu-alukan kedatangan kereta dengan sistem pemanduan automatik” – jumlah tersebut jatuh hingga 25% di Perancis dan Belanda. Apa yang lebih mengejutkan, hasil kajian ini menunjukkan tiada langsung bukti sokongan yang kuat untuk teknologi pemanduan sendiri dari kumpulan umur lebih muda di seluruh Eropah.

Dengan hasil input yang didapati dari kajian yang dilakukan ini, Mazda akan meneruskan visi Sustainable Zoom-Zoom 2030 yang bakal menggabungkan enjin pembakaran dalaman terbaik bersama teknologi elektrik. Visi ini akan melibatkan penggunaan enjin SkyActiv-X iaitu enjin petrol komersial pertama di dunia yang menggunakan mampatan untuk menghasilkan pembakaran. Bagaimana ia berfungsi? Baca artikel khas enjin tersebut DI SINI.

Mazda juga percaya bahawa kemahiran memandu merupakan sesuatu yang ingin disimpan oleh kebanyakkan orang. Memandu adalah sesuatu yang seronok serta bermanfaat, dan menurut jenama berkenaan, masih lagi ramai orang yang mahukan kemahiran ini kekal untuk generasi akan datang.

Kajian ini juga menunjukkan bahawa hubungan emosi antara pemandu dan kereta adalah signifikan – secara purata dari 69% pemandu “berharap generasi akan datang akan terus mempunyai pilihan untuk memandu kereta.” Angka ini meningkat kepada 74% di Poland dan 70% atau lebih tinggi di UK, Jerman, Perancis dan Sweden.

Walaupun kereta dengan teknologi pemanduan sendiri bukanlah sesuatu yang mendapat permintaan tinggi dari pengguna, Mazda akan terus membangunkan sistem konsep pemanduan sendiri yang digelar Mzda Co-Pilot. Sistem tersebut menampilkan ciri-ciri keselamatan termaju bagi memberikan ketenangan minda kepada pemandu.