Sebanyak 46 bas perantara akan disediakan dalam program perkhidmatan bas percuma Congestion Alleviation Transport (CAT) untuk sekitar Pulau Pinang mulai 1 April ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan Negeri Chow Kon Yeow, CAT akan memberikan kemudahan bas perantara di setiap bahagian di pulau dan tanah besar bagi laluan yang tidak dilalui oleh Rapid Penang, laporan The Star.

Program CAT ini adalah tambahan bagi dua program bas perantara percuma sedia ada, Transit Bahagian Sentral yang bermula 2008 dan Transit Bas Perantara Jambatan Ekspres yang dilancarkan pada 2011.

Katanya lagi, perkhidmatan ini disediakan setiap hari iaitu dari jam 6 pagi hingga 10 malam yang melibatkan kawasan George Town, Tanjung Tokong, Sungai Dua, Bayan Baru, Ayer Itam dan Balik Pulau.

Sementara laluan di tanah besar pula melibatkan Bertam, Bukit Mertajam, Simpang Empat, Nibong Tebal, Seberang Jaya dan Batu Kawan.

“Perkhidmatan ini diperkenalkan untuk mengalakkan penggunaan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas. Laluan bas berkenaan termasuklah di sekitar hospital, jabatan kerajaan, pusat membeli-belah dan pasar awam,” ujarnya sambil menambah kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak RM15 juta untuk kemudahan tersebut.