Jika sebelum ini Mazda gemar untuk menjadikan model-model dari BMW sebagai tanda aras menghasilkan produk-produk mereka, namun kini tidak lagi kerana kereta-kereta dari jenama Jerman berkenaan dikatakan tidak lagi seronok untuk dipandu seperti dahulu. Perkara ini diceritakan oleh jurutera Mazda sendiri kepada portal AS, AutoGuide.com.

Menurut jurutera berkenaan, sebelum ini BMW membangunkan kereta-kereta yang dibina sepenuhnya dengan falsafah “Ultimate Driving Machine” dan menghasilkan jentera yang seronok untuk dipandu serta fokus kepada kehendak pemandu – ia jelas seiring dengan falsafah Mazda sendiri yang menghasilkan kereta-kereta berteraskan dinamik pemanduan dan mengambil berat tentang pengendaliannya.

Namun untuk model-model terbaharu, Mazda mendakwa BMW tidak lagi mengambil berat terhadap keseronokan memandu dan jenama tersebut kini dikritik bagaimana pendekatan mereka terhadap perasaan pada stereng, enjin dan bunyi ekzos serta berat keseluruhannnya. Kesimpulannya, kereta-kereta BMW terkini diberikan karekter tiruan yang dibuat-buat dan bukan lagi yang sebenar, menjadikan ia tidak lagi seronok untuk dipandu.

Jadi jika BMW tidak lagi dijadikan sebagai kayu ukur, jenama mana pula yang dijadikan tanda aras untuk penghasilan model-model baharu Mazda? Jurutera berkenaan menjelaskan, syarikatnya kini melihat Toyota Camry sebagai model yang boleh dibuat untuk perbandingan untuk membangunkan model-model baharunya.

Menurutnya, Camry generasi baharu yang dibina berdasarkan Toyota New Global Architecture (TNGA) berkenaan tidak dapat dinafikan kini mempunyai karekter pengendalian yang lebih tajam dan lebih menyeronokkan, tidak sama dengan model-model bosan dari generasi sebelumnya. “Jika sebelum ini mereka dapat menjual Camry dengan baik walaupun sangat bosan untuk dipandu, sekarang mereka mempunyai kereta dengan pengendalian yang baik di tangan mereka!” jelasnya.