Motosikal jelajah yang menggunakan asas daripada model offroad sudah wujud sekian lama, tapi sekarang ia seperti kembali menarik perhatian pengguna. Biasanya bagi motosikal jenis ini, penampilannya agak membosankan, dengan badan yang ringkas manakala lampu hadapannya pula berpetak biasa sahaja.

Honda bagaimanapun cuba mengubah perkara ini, dengan mengeluarkan model CRF250 Rally, yang seperti anda boleh lihat, mempunyai gaya berbeza, dan sebenarnya mendapat inspirasi daripada jentera yang digunakan dalam perlumbaan Dakar.

Model ini menggunakan asas daripada CRF250L, iaitu sebuah motosikal jenis trail/enduro tetapi diberikan gaya lebih garang, dengan hampir semua panel badannya adalah berbeza. Paling jelas adalah bahagian lampu hadapan, di mana ramai yang saya temui, mengatakan ia seperti mengenakan topeng atau goggle. Bahagian ini juga memainkan peranan penting yang membuatkan ia boleh jadi menarik atau sebaliknya, bergantung kepada individu.

Lampu ini sebenarnya adalah unit LED, dan ini adalah satu lagi kelebihan model CRF250 Rally berbanding CRF250L. Selain daripada itu, lampu penunjuk arah juga adalah berbeza, dan ia menyala sama seperti lampu hadapan, sepanjang masa (kedua-dua belah). Apabila diaktifkan, barulah ia berkelip mengikut arah yang dipilih.

Pergi ke bahagian tepi pula, panel atas, serta penghadang enjin dan ekzos juga berbeza. Semua bahagian ini diperbuat daripada plastik, dan saya tertarik dengan kualiti dan keteguhannya. Apabila diketuk-ketuk dengan tangan ia terasa tegap, dan disebabkan ia adalah plastik, apabila terjatuh mungkin ia boleh melentur dan tidak mudah pecah. Tapi untuk bahagian bawah enjin, jika anda mahukan lebih ketahanan, mungkin ia boleh ditukar dengan unit yang diperbuat daripada aluminium.

Dengan penggayaan ini, CRF250 Rally mungkin boleh mengancam sesetengah orang, kerana bahagian hadapannya nampak besar, dan memang sudah seperti sebuah jentera jelajah yang berkuasa lebih tinggi. Apatah lagi, tangkinya juga lebih besar (tambahan 2.3 liter berbanding CRF250L). Tapi saya boleh katakan, anda tidak sepatutnya terus takut dengan penampilannya, dan boleh cuba menunggangnya terlebih dahulu.

Meskipun tidak begitu tinggi, anda sebenarnya masih boleh duduk dengan yakin atas motosikal ini kerana pertamanya, suspensi belakang yang digunakan agak lembut. Bagi saya sahaja, yang baru mencecah berat 70 kg, bila duduk, boleh membuatkan bahagian belakang motosikal ini turun banyak. Ada kalanya saya rasa sedikit pelik kerana motosikal seperti mendongak.

Walaupun menggunakan suspensi sama seperti CRF250L, iaitu fork teleskopik 43 mm di hadapan dan monoshock dengan sistem Prolink di belakang, sebenarnya versi Rally ini terletak lebih tinggi – +20 mm untuk tinggi tempat duduk dan +15 mm untuk jarak dari tanah.

Dengan ketinggian sekitar 180 sm, saya memang tidak bermasalah untuk menunggang motosikal tinggi seperti ini, tetapi seorang rakan saya, yang mempunyai ketinggian sekitar 165 sm juga berjaya menaikinya. Cuma untuk melangkah, beliau lebih selesa untuk memijak terlebih dahulu peletak kaki kiri, dan apabila sudah duduk dan motosikal ini turun sedikit, barulah beliau rasa lebih yakin untuk mula bergerak.

Melalui tetapan seperti ini, satu perkara yang pasti adalah ia memberi lebih keselesaan, dan disebabkan ia dilengkapi dengan padanan rim 21 inci di hadapan, 18 inci di belakang dan tayar berbunga kasar (tapi masih rapat), ia boleh dinikmati atas kedua-dua jenis jalan – jalan bertar dan jalan offroad.

Setakat bonggol-bonggol biasa dan permukaan tar tidak rata, memang anda masih boleh meredah bersahaja sambil duduk menggunakan motosikal ini. Tapi apabila sudah memilikinya, janganlah pula anda mahu memecut sepanjang masa di kawasan tersebut kerana bonggol itu dibuat supaya pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan di kawasan tertentu demi keselamatan.

CRF250 Rally ini berjaya saya pinjam semasa cuti Tahun Baru Cina yang lalu, jadi dapatlah saya melakukan aktiviti yang digemari – meneroka tempat-tempat baru (bagi saya lah) termasuklah di dalam hutan yang bukan semua orang mahu masuk. Biasanya, tujuan yang saya letakkan adalah air terjun terpencil – kadang-kadang bukan untuk mandi sangat pun, tetapi sekadar menikmati keindahan kawasan semula jadi.

Ada juga terdetik mahu ke Harimau Berjemur atau Kg Pagi di Pahang, tetapi memikirkan saya masih perlu meluangkan masa bersama keluarga, saya mencari tempat yang boleh saya pergi dan balik dalam masa satu hari. Tempat yang anda lihat di dalam gambar ini adalah di Bentong, dan saya berpeluang merasai sekali pengalaman offroad bersama motosikal ini sepanjang 5 km.

Tahulah saja apabila melalui Lebuh Raya Karak di awal pagi Sabtu, memang banyak penunggang yang mahu ‘mengasah tayar’. Sedar diri cuma menunggang motosikal 250 cc bertayar offroad, pada kebanyakan masa saya berada di laluan paling kiri dan hanya ke lorong tengah untuk memotong.

Sebenarnya, enjin satu silinder 250 cc DOHC berkuasa 24.4 hp dan 22.6 Nm tork (sama dengan CRF250L) yang digunakan pada CRF250 Rally ini mampu memacu motosikal sehingga kelajuan 140 km/j, tapi pada kelajuan itu anda akan mula merasakan gegaran halus dari enjin, hingga ke bahagian pemegang. Oleh itu, kelajuan yang saya rasakan selesa dengan motosikal ini adalah di bawah 100 km/j.

Lagipun, dengan tayar sebegitu, ‘rasa’ waktu mengambil selekoh adalah berlainan jika dibandingkan dengan motosikal jalanan biasa. Dari aspek keselesaan, saya memang tiada sebarang rungutan berkenaan CRF250 Rally ini. Tempat duduknya selesa, pemegang mudah dicapai, hentakan jalan juga tidak begitu terasa, dan cermin penghadang depan berfungsi baik mengelakkan angin daripada terus menolak ke arah helmet (tidak boleh dilaras).

Cuma satu yang saya perasan, haba dari enjin, pada bahagian kiri kerap terasa pada kaki apabila dirapatkan pada tangki. Ini mungkin kerana salur udara pada bahagian ini terletak hampir dengan kipas radiator yang menolak angin panas keluar dari situ. Buka sedikit kaki kiri, barulah saya boleh menikmati perjalanan dengan tenang.

Bagi mereka yang mahukan kuasa yang menggila, terus saya boleh katakan, ini bukanlah motornya. Untuk mendapatkan kepuasan seperti itu, anda mungkin memerlukan enjin sekurang-kurangnya 450 cc. Tapi, enjin pada CRF250 Rally ini masih ada keistimewaan yang tersendiri. Pertamanya, ia cukup lancar, termasuklah juga penukaran gear dan tarikan klac yang ringan.

Kemudiannya, bagi sebuah enjin 250 cc, kuasa yang terhasil dirasa memuaskan, dan dapat memberikan pecutan yang mencukupi termasuk waktu memotong kenderaan lain. Jika dalam risalah, tork maksimum enjin ini dinyatakan sampai pada tahap 6,750 rpm, saya sendiri boleh memberitahu tujahan itu memang terasa apabila sudah melebihi 6,000 rpm. Disebabkan beratnya pula cuma 157 kg, CRF 250 Rally terasa seperti laju.

Masuk ke jalan offroad pula, badannya yang ringan ini banyak membantu menjadikan CRF250 Rally mudah dikawal. Saya tidaklah memasuki sungai atau lumpur dalam, tetapi melalui jalan trail yang sempit, saya masih dapat santai meredahnya dengan mudah. Jika anda seorang yang sudah biasa melibas tayar belakang dengan membrek, untuk mengalih arah motosikal, suis khas untuk menutup fungsi brek ABS pada motosikal ini pasti lebih dihargai. Ia terdapat bersebelahan panel meter.

Meter yang disediakan pada CRF250 Rally adalah unit digital penuh, dengan pelbagai informasi boleh diperhatikan termasuk tahap rpm, kelajuan, jarak perjalanan dan lampu-lampu amaran lain. Cuma satu yang saya harapkan ada pada meter ini adalah penunjuk kedudukan gear. Puas saya cari, ia memang tiada pada CRF250 Rally dan saya masih tertanya kenapa ia tidak disertakan.

Untuk satu tangki penuh CRF250 Rally ini, saya mencatat perjalanan hampir 280 km, dan ini adalah dalam keadaan jalan bercampur, termasuk di dalam bandar, atas lebuh raya dan juga dalam kawasan offroad. Perkara lain yang dapat saya perhati pada motosikal ini adalah ia mempunyai kelengkapan yang dapat membantu kesenangan pengguna harian. Ini termasuk cangkuk meletakkan helmet serta ruang barangan kecil di tepi bahagian kiri, siap dengan kunci.

Pada pendapat saya, motosikal seperti inilah yang paling sesuai jika anda ada hobi meneroka dengan menunggang motosikal. Dengan kemahuan seperti ini, anda tidak perlukan enjin berkapasiti lebih besar kerana anda bukannya mahu berlumba, dan ia akhirnya akan menyebabkan motosikal semakin berat, dan pada masa sama, ia masih boleh meredah jalan mencabar dengan bersahaja. Satu lagi yang penting, ia tidak memenatkan penunggang.

Harga CRF 250 Rally ini adalah RM28,618.94 termasuk GST, dan adalah lebih mahal sekitar RM4k berbanding model standard CRF250L. Selain kelebihan yang telah dinyatakan di atas, saya juga ingin memberitahu bahawa ekzos CRF250 Rally ini menghasilkan bunyi deruman manja yang lebih, berbanding CRF250L yang sekadar berbunyi angin sahaja. Pesaing terdekatnya iaitu Kawasaki Versys-X 250 pula dijual sekitar RM5k lebih rendah.