Awal tahun ini, pihak pengurusan baharu Formula 1 iaitu Liberty Media telah menghentikan khidmat ‘Gadis Litar’ yang tampil pada setiap kali perlumbaan kerana ia dikatakan tidak lagi sesuai dengan imej jenama baharu yang dibangunkan dan ia jelas janggal dengan norma masyarakat moden. Nampaknya langkah ini akan diteruskan oleh pengeluar-pengeluar kenderaan pada acara-acara pameran permotoran, lapor Bloomberg.
Menurut laporan tersebut, banyak jenama-jenama automotif tidak lagi akan menggunakan khidmat model-model wanita – yang kebiasaannya akan mengenakan fesyen menjolok mata – untuk menghiasi ruang pameran mereka pada Geneva Motor Show yang bakal berlangsung minggu hadapan.
Langkah ini diambil oleh pengeluar-pengeluar kenderaan yang kini bersetuju dengan pergerakan #MeeToo di seluruh dunia yang menentang gangguan seksual, dan ia dilihat akan merubah perspektif yang telah lama berkubu di dalam industri iaitu dengan menggunakan wanita untuk menarik perhatian pembeli kereta lelaki bagi menjual kereta, tambah laporan tersebut lagi.
Pada Geneva Motor Show yang akan berlangsung berkenaan, pembuat kenderaan dari Korea, SsangYong akan menggunakan model lelaki dan wanita yang berpakaian sukan untuk mempromosi kenderaan mereka. Dalam pada itu, Lexus disahkan tidak akan menggunakan khidmat mana-mana model, manakala Fiat Chrysler Automobile (FCA) telah dilaporkan membatalkan kontrak mereka bersama berberapa model wanita kerana bimbang akan dikritik di #MeeToo.
Untuk Toyota dan Nissan pula, mereka masih lagi akan menggunakan model wanita namun mengesahkan gadis-gadis di ruang pameran mereka tidak akan mengenakan pakaian yang menjolok mata. “Masa telah berubah, adalah lebih logik untuk menggunakan pakar produk kerana kami menjual kereta,” kata jurucakap Nissan, Sara Jenkins.
Perkara yang sama akan dilakukan oleh jenama-jenama di bawah FCA iaitu Maserati, Jeep dan Alfa Romeo. Jenama-jenama ini akan menampilkan model lelaki dan wanita yang berpakaian lebih sopan dari acara-acara sebelum ini.
Peralihan trend ini bukan sahaja disebabkan oleh pergerakan #MeeToo berkenaan yang mempunyai pengaruhnya di Hollywood. Ia juga disebabkan pasaran automotif itu sendiri yang menyaksikan kini lebih ramai wanita yang membeli kereta mereka sendiri.
Menurut laporan tersebut, peratusan wanita yang memiliki kereta mereka di UK meningkat sehingga 66% pada 10-tahun kebelakangan ini, manakala pada pasaran kenderaan terbesar di Eropah iaitu Jerman, jumlah pembeli kereta wanita adalah satu pertiga dari angka keseluruhan. Perancis pula mencatatkan jumlah pembeli kereta wanita lebih tinggi iaitu 37%.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.