Memikirkan permintaan untuk minyak diesel yang lebih berkualiti semakin meningkat, Petronas Dagangan Berhad (PDB) telah mula menawarkan produk Dynamic Diesel Euro 5 dengan Pro-Drive di Sarawak, bermula dengan Bintulu dan Miri dengan sasaran sembilan stesen menjelang akhir Mac ini, dan kemudiannya sasaran keseluruhan 20 stesen yang menawarkannya di Sarawak dalam tahun ini.
Diesel bebas sulfur generasi baru ini sebelumnya diperkenalkan di Semenanjung Malaysia bulan November tahun lepas, dan ia terbukti mampu memberi pemanduan yang lebih lancar, penggunaan bahan api lebih baik serta emisi yang lebih bersih.
Istimewanya diesel Euro 5 Petronas ini adalah ia dimasukkan dengan teknologi Pro-Drive, iaitu kombinasi diesel asas yang berkualiti lebih tinggi dan diformulasikan semula, datang daripada pusat pengeluaran minyak Petronas sendiri. Formula uniknya direka untuk menjadi bersesuaian dengan enjin diesel moden common-rail.
Pro-Drive ini juga berjaya dihasilkan melalui pengalaman Petronas bekerjasama dengan syarikat pengeluar kenderaan industri Itali, iaitu Iveco. Ia turut digunakan pada kenderaan Iveco yang menyertai Rali Dakar, sekaligus membuktikan kemampuannya bertahan walaupun dalam perlumbaan off-road jarak jauh yang sangat ekstrem.
Secara keseluruhannya, Petronas Dynamic Diesel Euro 5 dengan Pro-Drive menjanjikan tiga manfaat utama untuk kenderaan diesel, iaitu membersihkan dan melindungi bahagian kritikal enjin, meningkatkan pembakaran, prestasi enjin optima serta penggunaan bahan api lebih baik, serta menjadikan enjin mudah dihidupkan, kurang gegaran dan lebih lancar.
Bila dibandingkan pula dengan minyak diesel lain dalam pasaran, Petronas juga mendakwa produk mereka ini mencatat jumlah cetane lebih tinggi, sekaligus dapat mempertingkat pembakaran dan menjadikan pemanduan lebih lancar, emisi lebih bersih dan kurang bunyi. Ia juga mempunyai lebih banyak tenaga dalam setiap kilogram.
Dengan pelancaran di Sarawak ini, Petronas Dynamic Diesel Euro 5 dengan Pro-Drive kini sudah boleh didapati di 68 stesen Petronas terpilih di seluruh Malaysia, dan sekiranya anda memerlukan lebih maklumat berkenaannya, bolehlah melayari www.mymesra.com.my
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.