Petronas Dagangan Bhd hari ini melancaran formulasi baru bagi Petronas Dynamic Diesel Euro 5, kini dengan Pro-Drive. Diesel bersih terbaru ini didakwa mampu memberikan pemanduan yang lebih lancar dan penggunaan minyak yang lebih baik, dengan diesel asas yang lebih berkualiti tinggi yang diformulasikan agar sesuai untuk kegunaan enjin common-rail moden.

Teknologi Pro-Drive yang digunakan pada diesel baru ini dibangunkan dengan usaha sama Iveco dalam Rali Dakar, yang menyaksikan Petronas De Rooy Iveco muncul juara pada edisi 2016 lalu.

“Penglibatan Petronas dalam Rali Dakar memberikan kami platform untuk mengkaji keperluan kenderaan dengan enjin common-rail suntikan terus berprestasi tinggi dan membolehkan kami untuk terus-menerus memperbaharui produk kami agar ia menepati keperluan semasa, termasuk dalam keadaan pemanduan yang paling ekstrem,” jelas Pengarah Urusan dan CEO, Datuk Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus.

Petronas mendakwa bahan api dengan Pro-Drive ini akan membersihkan endapan dan melindungi bahagian penyuntik minyak, membolehkan enjin berada dalam keadaan bersih dan memberikan kecekapan yang optimum. Ia juga mampu memperbaiki pembakaran dalam enjin, mengatasi diesel lain yang ada kini. Hasilnya, pemanduan jadi lancar, bersih dan lebih senyap.

Petronas Dynamic Diesel Euro 5 kini boleh diperolehi di 58 stesen, dengan perancangan untuk menjadikannya 115 stesen dalam masa terdekat.