Porsche Mission E Cross Turismo Concept – EV gaya seperti Panamera Sport Turismo, tetapi lebih tinggi

Porsche Mission E Cross Turismo Concept – EV gaya seperti Panamera Sport Turismo,  tetapi lebih tinggi

Porsche nampaknya tidak begitu senang melihat Tesla menguasai pasaran kenderaan elektrik prestasi sendirian. Pada tahun 2015, Porsche telah menunjukkan model Mission E dan ia sekarang sedang disiapkan untuk produksi. Kini, mereka memperkenalkan sebuah lagi model elektrik yang lebih ranggi, dinamakan sebagai Porsche Mission E Cross Turismo Concept.

Menurut Porsche, model ini disediakan untuk pelanggan yang mahukan sebuah Porsche elektrik berprestasi tinggi, dan pada masa sama mempunyai gaya hidup aktif dan gemar keluar dari bandar. Kenderaan ini mempunyai empat tempat duduk, sistem cengkaman AWD dan boleh membawa papan luncur ombak atau basikal elektrik Porsche.

Dari aspek rekaan, model konsep ini mungkin mirip dengan Panamera Sport Turismo, tetapi ia diterapkan dengan elemen offroad, seperti pelindung lengkuk roda dan tepi pintu, spoiler hadapan tahan lasak dan duduk lebih tinggi dari tanah.

Porsche Mission E Cross Turismo Concept – EV gaya seperti Panamera Sport Turismo,  tetapi lebih tinggi

Selain daripada itu, ia juga mempunyai bukaan udara menegak di hadapan, serta panel tepi dengan salur udara berhampiran roda hadapan. Lampu belakangnya pula menggunakan jalur panjang dari kiri ke kanan, dan di tengahnya terdapat pencahayaan yang tertulis Porsche. Apabila sedang dicas, tulisan ini akan berkelip.

Menurut Porsche, kenderaan konsep ini memberi gambaran kepada model Turismo produksi yang mempunyai ciri sebuah kenderaan utiliti crossover dan ciri ‘boleh ubah’ juga dijadikan sebagai tema.

Selain boleh dilipat sehingga rata, empat tempat duduk berasingan dalam kenderaan ini juga mempunyai bahagian tengah yang boleh dibuka, seterusnya memudahkan kemasukan barang yang panjang. Sebagai tambahan, bahagian but pula mempunyai sistem rel dengan pengikat yang boleh dilaras. Pembeli juga boleh mendapatkan kereta ini bersama basikal elektrik Porsche.

Untuk menggerakkan Mission E Cross Turismo ini, Porsche menggunakan dua motor permanent magnet synchronous dengan kuasa keseluruhan sistem lebih daripada 600 hp. Ini membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa kurang 3.5 saat dan boleh mencecah 200 km/j dalam masa bawah 12 saat.

Kuasa dari motor elektrik ini boleh disampaikan kepada semua roda apabila perlu, dengan sistem Porsche Torque Vectoring, dan ia juga didatangkan dengan sistem all-wheel steering, Porsche Dynamic Chassis Control (PDCC) dan suspensi udara adaptif yang dapat meninggikan kenderaan sehingga 50 mm.

Bateri lithium-ion pada kenderaan ini boleh dicas untuk memberikan jarak pergerakan 400 km dalam masa hanya 15 minit. Menurut Porsche lagi, kenderaan ini dipersiap dengan sambungan untuk rangkaian pengecas pantas, yang kini sedang dibina oleh kerjasama IONITY antara BMW, Daimler, Ford dan Volkswagen Group.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required