Lamborghini Urus catat jualan lebih baik dari jangkaan – 70% pelanggan baharu, pembeli wanita meningkat

Lamborghini Urus catat jualan lebih baik dari jangkaan – 70% pelanggan baharu, pembeli wanita meningkat

Langkah Lamborghini untuk menghasilkan SUV nampaknya satu tindakan yang berjaya apabila model baharu berkenaan dilaporkan menerima permintaan diluar jangkaan. Menurut CEO jenama supercar dari Itali itu, Stefano Domenicali, jualan dan tempahan SUV Lamborghini Urus kini berada pada tahap “hebat” dan jumlahnya melebihi jangkaan.

“Kami jangkakan akan mendapat maklum balas positif dari pelanggan, tetapi bukan pada tahap yang kami terima sekarang. Reaksi pelanggan sangat hebat,” katanya dalam satu temuramah bersama CNBC. Beliau menjelaskan, sehingga penghujung 2018, Lamborghini akan memproduksi 5,000 kereta – lebih 1,000 unit daripadanya adalah Urus. Manakala menjelang akhir 2019, jenama tersebut akan menghasilkan 8,000 kereta, dan lebh separuh daripadanya adalah SUV tersebut.

Setakat ini, sekitar 70% pembeli Urus adalah pelanggan baharu Lamborghini, bermaksud mereka tidak pernah memiliki jenama tersebut sebelum ini. Domenicali juga berkata beliau terkejut peningkatan pembeli wanita menerusi model baharu berkenaan. “Kami dapat perhatikan dengan jelas peningkatan terhadap pembeli wanita,” jelas beliau.

Lamborghini Urus catat jualan lebih baik dari jangkaan – 70% pelanggan baharu, pembeli wanita meningkat

Beliau juga menyatakan bahawa Urus diterima baik pada pasaran dengan jalan raya yang teruk seperti Russia kerana kereta-kereta sport mereka sebelum ini kurang sesuai digunakan pada keadaan sedemikian. “Pasaran Russia dan India adalah agak kuat untuk kereta ini, jadi ini merupakan satu kemajuan buat kami,” jelasnya.

Namun Domenicali turut menegaskan, walaupun SUV ini menerima permintaan tinggi, Lamborghini akan tetap memproduksi kenderaan mereka dalam jumlah yang rendah tetapi dengan kualiti tinggi, dan tidak merancang untuk membuat produksi besar-besaran. Lamborghini bakal memperlahankan pertumbuhan mereka pada penghujung 2019 bagi mengekalkan aura jenama itu sendiri.

“Pertumbuhan perlu dilakukan betul-betul. Pada penghujung 2019, kami perlu hentikan pertumbuhan bagi memastikan kami mempunyai nilai ekslusif yang kami perlukan untuk memastikan kami akan terus kekal membuat keuntungan dan persepsi jenama yang kami mahu,” terang CEO itu.

Domenicali juga mengakui Lamborghini kini pada landasan yang betul dengan Urus. Kebanyakkan pemilik tradisi kereta-kereta sport Lamborghini terkilan dengan langkah syarikat tersebut untuk menjual SUV, walaupun ia dihasilkan dengan hebat. Kebanyakkan mereka risau ia akan menjatuhkan nilai ekslusif dan imej jenama itu sendiri.

“Ia sebuah kereta yang mempunyai kuasa mengutub, sama ada anda suka atau benci,” katanya. “Untuk mereka yang tidak suka, saya katakan cuba pandunya dahulu. Apabila mereka duduk dalam kereta ini, mereka akan temui sesuatu yang mereka tidak jangka,” ujar Domenicali.

Walau bagaimanapun, boss Lamborghini tersebut terus menekankan SUV Urus ini sangat sesuai dengan lencana jenama supercar Itali berkenaan. Ia dijana enjin V8 4.0 liter dengan turbo berkembar, berkuasa 650 PS/850 Nm, membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.6 saat (0-200 km/j dalam 12.8 saat) sebelum mencapai kelajuan maksima 305 km/j.

Urus juga mampu dipandu pantas pada permukaan off-road, ais, salji serta jalan raya bertar yang rosak – kesemua ini sangat tidak sesuai untuk adik-beradiknya yang lain seperti Huracan dan Aventador.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required