Mazda jelaskan bagaimana enjin SkyActiv-X mampu beroperasi lebih bersih dari kereta elektrik sepenuhnya

Mazda jelaskan bagaimana enjin SkyActiv-X mampu beroperasi lebih bersih dari kereta elektrik sepenuhnya

Sebelum ini, pegawai pengurusan eksekutif bahagian sistem janaan kuasa Mazda, Mitsuo Hitomi ada mengatakan bahawa enjin generasi baharu SkyActiv-X mereka mampu beroperasi lebih bersih dan mesra alam berbanding kenderaan yang digerakkan menggunakan motor elektrik sepenuhnya (EV). Menerusi kenyataan baharu jenama berkenaan, perincian bagaimana ia boleh dilakukan diperincikan.

Menurut Mazda, dua pertiga penghasilan tenaga elektrik buat masa sekarang masih lagi menggunakan bahan api fosil seperti arang batu, petroleum dan gas asli. Jadi, jenama tersebut percaya dengan menyatakan EV menghasilkan pencemaran sifar adalah sesuatu yang tidak jujur. Oleh itu, untuk membandingkan kadar pencemaran CO2 yang lebih tepat, penilaian perlu dilakukan dengan cara ‘Penjana-ke-Roda’ dan bukan ‘Tangki-ke-Roda’.

Menerusi kaedah Penjana-ke-Roda berkenaan, pencemaran bukan diukur semasa kenderaan bergerak, malah turut melibatkan proses mengekstrak bahan api, pembuatan dan juga penghantaran. Mazda turut mengambil kira merit terhadap ekologi kenderaan EV yang mendapat tenaganya dari bahan api fosil – hasil penilaian lebih tepat ini dapat digunakan dalam merancang pembangunan unit janakuasa untuk masa hadapan.

Mazda jelaskan bagaimana enjin SkyActiv-X mampu beroperasi lebih bersih dari kereta elektrik sepenuhnya

Hasil dari pengiraan yang dilakukan, kereta bersaiz sederhana yang beroperasi dengan kuasa elektrik sepenuhnya akan menggunakan sekitar 20 kWh kuasa elektrik untuk perjalanan 100 km. Penghasilan kuasa dengan jumlah sedemikian akan menghasilkan pencemaran CO2 200g/km jika elektrik dijana menggunakan arang batu, 156g/km menggunakan petroleum dan 100g/km menggunakan cecair gas asli (LNG) – kesemua ini dipuratakan pada bacaan 128g/km.

Manakala untuk enjin SkyActiv-G Mazda sedia ada, ia menghasilkan pencemaran 142g/km untuk penggunaan yang sama. Ini bermaksud, sekiranya Mazda berjaya untuk mendapatkan bacaan 10% lebih baik pada enjin petrol generasi berikutnya, ia sudah tentu mendapat bacaan yang sama kenderaan-kenderaan elektrik sepenuhnya.

Itu jika dikira menerusi purata, tetapi jika dibandingkan dengan penghasilan tenaga elektrik menggunakan arang batu atau petroleum, enjin SkyActiv-G yang digunakan buat masa sekarang sudah memadai untuk mendapatkan bacaan pencemaran yang lebih rendah dari kereta elektrik. Mazda percaya mereka boleh menghasilkan enjin petrol yang lebih bersih dari kereta elektrik yang mendapat bekalan kuasa janaan cecair gas asli (kini 30% lebih rendah) pada masa hadapan.

Mazda juga telah mendedahkan enjin SkyActiv generasi baharunya yang digelar SkyActiv-X, dijangka bakal muncul dipasaran pada penghujung tahun ini. Enjin tersebut menggunakan kaedah baharu dalam pembakaran iaitu sistem Spark Controlled Compression Ignition (SPCCI). Enjin SkyActiv-X berkenaan menggabungkan sistem pembakaran menggunakan percikan spark plug konvensional dengan kaedah pembakaran menerusi kuasa mampatan seperti enjin diesel.

Dengan cara berkenaan, enjin tersebut mampu menghasilkan nisbah mampatan lebih tinggi dan juga nisbah campuran udara-bahan api yang sangat nipis (lean) – sehingga 29.4:1, serta didakwa 30% lebih ekonomik. Bagaimana enjin ini berfungsi? Baca artikel pada PAUTAN INI.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermaksud Mazda tidak berminat untuk membangunkan kereta-kereta yang menggunakan teknologi elektrik. Jenama berkenaan komited untuk mengurangkan pencemaran CO2 Penjana-ke-Roda sehingga 50% dari 2010 ke 2030, dan sehingga 90% menjelang 2050. Pembuat kereta dari Hiroshima itu juga menyatakan mereka akan memperkenalkan teknologi EV dan hibrid ringan pada 2019, model dengan bateri bersepadu pada 2020, serta model hibrid plug-in pertama pada 2025.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required