Kalau sebelum ini Mazda pernah dedahkan tentang teknologi pada enjin SkyActiv-X yang belum pun diproduksi, kini ada satu lagi perkara yang syarikat rancang – menghasilkan satu enjin petrol yang didakwa mampu menjadi sebersih kenderaan elektrik (sekurang-kurangnya dari sudut janaan tenaga).

Menurut Automotive News, ketua bagi pembangunan sistem janaan Mazda mendedahkan rancangan itu di satu persidangan teknikal automotif di Tokyo, dan merancang untuk menggelarnya SkyActiv-3. Dari namanya, ia merupakan petunjuk bahawa ia merupakan pembangunan enjin mampatan tinggi SkyActiv generasi ketiga.

Enjin SkyActiv-G membuat penampilan sulung pada 2011, dan generasi keduanya, SkyActiv-X akan hanya berada dalam pasaran mungkin pada hujung Mac 2019. Selepas itu, Mazda akan memberi keutamaan untuk meningkatkan kecekapan suhu pada enjin-enjinnya, jelas Mitsuo Hitomi, pegawai pengurusan eksekutif bahagian sistem janaan kuasa Mazda. Dengan melakukan itu, ia mengurangkan kehilangan tenaga kepada haba dan dalam masa sama meningkatkan jumlah yang disalurkan untuk dimanfaatkan oleh pacuan roda.

Jika Mazda boleh meningkatkan kecekapan suhu bagi enjin SkyActiv-3 katakan sebanyak 27% hingga 56%, maka pembebasan sisa pembakarannya akan setanding kenderaan EV, jelas Hitomi. Sebagai rujukan, Dynamic Force Engines oleh Toyota melonjakkan kecekapan suhu sehingga 40% ketika digunakan pada kenderaan janaan petrol dan 41% ketika digunakan pada kenderaan hibrid.

Dengan SkyActiv-3, Mazda membandingkan pembebasan emisi pada enjin-enjin akan datangnya dengan EV, di mana pengiraan turut mengambil kira karbon dioksida yang dibebaskan daripada penghasilan elektrik yang menguasakan EV. Bagi kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman, ia mengira pembebasan sisa berkenaan daripada ektrak minyak dan mempertingkat kualiti petrol.

Malah, pengiraan oleh Mazda menunjukkan sebaik sahaja semua aktiviti (termasuk penjanaan tenaga) diambil kira, sestengah EV adalah lebih “kotor” berbanding kenderaan enjin petrol yang cekap. Mazda percaya mereka boleh mengurangkan pembebasan C)2 sebanyak 25% – dan ini didakwa akan dapat menjadikan enjin petrol Mazda setanding dengan EV yang memperoleh tenaga elektrik daripada pembekaran cecair gas asli, tambah Hitomi.

Walaupun beliau tidak meletakkan sebarang jangka masa bagi teknologi SkyActiv-3, beliau menyatakan hal ini boleh memperpanjang jangka hayat enjin pembakaran dalaman pada era kenderaan elektrik seperti ketika ini. Apa pandangan anda?