VIDEO: Bagaimana enjin petrol pencucuhan mampatan Mazda SkyActiv-X berfungsi – tampil teknologi SPCCI

Mazda sebelum ini telah menyatakan mereka akan memperkenalkan enjin petrol SkyActiv-X yang berfungsi sebagai enjin pencucuhan mampatan, iaitu enjin SkyActiv-G generasi kedua dalam dalam rancangan “Sustainable Zoom-Zoom 2030”.

Ketika mula-mula diumumkan dahulu, difahamkan enjin SkyActiv-X ini akan menggunakan konsep Homogeneous Charge Compression Ignition (HCCI), iaitu konsep enjin petrol yang berfungsi dengan meledakkan pembakaran campuran udara-petrol dengan hanya menggunakan mampatan tinggi, tanpa percikan permulaan dari palam pencucuh.

Namun setelah didedahkan, sistem dari Mazda ini dinamakan sebagai teknologi Spark Controlled Compression Ignition (Pencucuh Mampatan Kawalan Percikan) – ia masih agak sama seperti enjin HCCI yang mendapatkan mampatan tinggi bagi memberikan sokongan pembakaran (juga sama seperti enjin diesel), tetapi permulaan pembakaran masih lagi dimulakan dengan unit spark plug yang akan memberikan nyalaan api.

Bukan sahaja bagi memulakan pembakaran, sistem ini juga secara tidak langsung dapat mengawal pemasaan pembakaran tersebut dan memaksimakan tempoh pencucuhan mampatan, dan juga memastikan peralihan yang lancar antara pencucuhan percikan dan mampatan. Manakala strok yang lebih panjang seperti enjin diesel, ia akan menghasilkan nisbah mampatan lebih tinggi (yang juga hampir menyamai enjin diesel) dan mampu menolak pergerakkan piston lebih kuat bagi menghasilkan tork yang lebih besar.

Dengan nisbah mampatan yang sangat tinggi, enjin baharu ini mampu menghasilkan nisbah campuran udara-petrol yang sangat lean (bahagian udara lebih banyak berbanding bahagian bahan api dalam nisbah campuran) seterusnya meningkatkan kecekapan enjin antara 20% hingga lebih 30% berbanding enjin SkyActiv-G sedia ada dan antara 35% hingga lebih 40% berbanding versi asal dengan kapasiti sama yang muncul pada tahun 2008.

Menurut Mazda lagi, teknologi ini sangat efektif sehingga kecekapan bahan api enjin SkyActiv-X berkenaan sama atau lebih baik dari enjin diesel SkyActiv-D. Enjin berkenaan turut akan diberikan suapan supercharger dan ia didakwa menawarkan respon lebih baik serta 10% hingga 30% lebih tork berbanding enjin SkyActiv-G.

Dengan kecekapan enjin yang tinggi pada semua peringkat kelajuan enjin dan juga beban, pilihan nisbah gear dapat dikembangkan lagi, seterusnya memberikan penggunaan bahan api dan juga prestasi pemanduan lebih baik, dakwa Mazda lagi.

Mazda telah mengumumkan sebelum ini bahawa enjin SkyActiv-X berkenaan bakal ditawarkan pada pasaran pada penghujung tahun 2018 untuk menjana Mazda 3 generasi baharu, secara tidak langsung ia juga enjin petrol komersial pencucuhan mampatan pertama di dunia. Buat masa sekarang, enjin ini dipadankan pada model konsep Mazda Kai yang membuat kemunculan sulung pada Tokyo Motor Show 2017 baru-baru ini – hatchback berkenaan juga dikatakan dikatakan memberi gambaran kepada Mazda 3 generasi keempat.

GALERI: Mazda Kai Concept 2017

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required